Pilih Bahasa

BOT TUNDA MENCEROBOH KAWASAN LARANGAN DITAHAN

Oleh Alfred Petrus

Bot tunda yang ditahan kerana menceroboh kawasan larangan. Gambar SNT/Ehsan Polis Marin

TAWAU: Sebuah bot tunda yang beroperasi di kawasan larangan berjaya ditahan oleh sepasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah pagi hari ini.

Komandernya, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata turut ditahan ialah juragan serta dua anak kapal bot tersebut.

Katanya tangkapan dibuat kira-kira pukul 9 pagi ketika pihaknya menjalankan rondaan di kawasan laut Sungai Laba Tawau dalam Ops Gelora.

Juragan dan anak kapal yang ditahan. Gambar SNT/Ehsan Polis Marin

“Bot ronda PAR 11 telah mengesan sebuah bot pukat tunda yang sedang menjalankan aktiviti memukat tunda di kawasan larangan.

“Bot pukat tunda berkenaan dikendalikan oleh seorang lelaki berumur 35 tahun serta dua orang krew bot berumur 19 dan 18 tahun sedang menjalankan aktiviti memukat pada jarak 1.54 batu nautika dari pantai Sungai Laba.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati juragan dan dua anak kapal memiliki pasport dari negara jiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Katanya juragan dan dua anak kapal tersebut serta bot pukat tunda diiring ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Tawau.

Jelasnya kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat-syarat lesen perikanan iaitu menunda di kawasan larangan.

“Tangkapan kemudian diserah kepada Jabatan Perikanan Tawau untuk siasatan lanjut,” jelasnya. -SabahNewsToday