Pilih Bahasa

Brek lori rosak, rempuh dua buah rumah dan kedai di Lahad Datu

Oleh Nasrawati Syarifuddin

LAHAD DATU: Seorang lelaki bertindak nekad melompat keluar menyelamatkan diri sebelum lori yang dipandunya terbabas dan melanggar dua rumah, kedai menjual bantal dan sebuah kenderaan di Kampung Membatu, Jalan Lahad Datu-Tungku, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata kejadian pukul 9.30 pagi itu berlaku mengakibatkan dua rumah dan kedai berkenaan rosak teruk.

Lori dengan brek rosak terbalik. Gambar SNT/Ihsan IPD Lahad Datu

Katanya hasil siasatan mendapati kejadian berlaku akibat brek lori tangki berkenaan gagal berfungsi.

“Kemalangan berlaku ketika pemandu berusia 40 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Lahad Datu menuju ke Felda Sahabat 13.

“Apabila tiba di jalan lurus menuruni bukit Kampung Membatu Jalan Lahad Datu-Tungku, brek lori berkenaan gagal berfungsi dengan baik.

Dua rumah, sebuah kedai menjual bantal dan kenderaan jenis Proton Saga rosak selepas dirempuh lori tangki. Gambar SNT / Ihsan IPD Lahad Datu

“Pemandu lori kemudian bertindak melompat keluar daripada kenderaan manakala lori terbabit terbabas dan merempuh sebuah pondok yang menjual bantal, dua rumah serta kenderaan rosak jenis Proton Saga” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata ketika kejadian berpenghuni rumah sempat menyelamatkan diri keluar daripada rumah berkenaan.

“Pemandu lori hanya mengalami luka kecil dan kemalangan tidak membabitkan nyawa.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – SabahNewsToday