Pilih Bahasa

BSH fasa 3: Libatkan 3.6 juta penerima dan peruntukan RM1.23 billion

PUTRAJAYA, 11 Ogos (Bernama) — Pembayaran fasa ketiga Bantuan Sara Hidup (BSH), akan dilaksanakan mulai 28 Ogos ini, melibatkan hampir 3.6 juta penerima dengan anggaran peruntukan sebanyak RM1.23 bilion, kata Kementerian Kewangan.

Katanya pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank masing-masing, menggunakan maklumat akaun bank semasa pembayaran fasa kedua BSH.

Menurut kementerian itu dalam satu kenyataan di sini hari ini, sejumlah RM2.85 bilion telah disalurkan bagi bayaran fasa pertama pada Januari, dan fasa kedua pada Mei kepada isi rumah yang diluluskan, termasuk bayaran kadar tambahan sebanyak RM120 bagi setiap orang anak tanggungan terhad kepada maksima empat orang anak. 

Anak tanggungan merujuk kepada anak berumur 18 tahun dan ke bawah, dan juga anak orang kurang upaya (OKU) tanpa had umur, katanya.

Katanya bagi memastikan program BSH 2019 disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan dibuka mulai 1 Julai hingga 15 Ogos, dan pembayaran bagi mereka yang diluluskan rayuannya dijangka akan dibuat pada September ini.

Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut, boleh menghubungi talian bebas tol 1-800-88-2747 serta e-mel kepada [email protected]

BSH adalah program kerajaan demi kesejahteraan ekonomi rakyat, dengan membantu golongan berpendapatan rendah (B40) meringankan kos sara hidup mereka.

— BERNAMA