Pilih Bahasa

Buaya seberat 300kg masuk perangkap

Oleh Nasrawati Syarifuddin

Buaya sepanjang 4.27 meter akan diletakkan di kolam sementara di Tawau. – Gambar SNT/Ihsan JHL

TAWAU: Seekor buaya tembaga dianggarkan seberat 300 kilogram (kg) berjaya masuk perangkap besi yang dipasang Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) Bahagian Tawau di Sungai Pang Burong berhampiran Kilang Sawit KL Kepong, di sini hari ini. 

Pegawai Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) Bahagian Tawau, Sailun Aris berkata buaya sepanjang 4.27 meter disedari berada di dalam perangkap berkenaan kira-kira pukul 6 pagi. 

“Tangkapan ini adalah yang kali kedua dilakukan di lokasi yang sama. 

“Hasil maklumat yang diperoleh daripada penduduk di kawasan berkenaan mendapati pernah melihat buaya timbul di sungai berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Buaya ditemui berada di dalam perangkap besi yang dipasang pihak Jabatan Hidupan Liar Sabah Bahagian Tawau. – Gambar SNT/Ihsan JHL

Difahamkan buaya berkenaan akan diletakkan disebuah kolam sementara di daerah ini sebelum tindakan seterusnya dilakukan.

“Buaya yang ditemui Mei lalu sudah dihantar ke Taman Buaya Apas Parit dan buaya kedua ini kita akan letak di kolam sementara,” jelasnya. 

Pada 13 Mei lalu, seekor buaya yang dipercayai menyerang seorang lelaki warga emas berjaya ditangkap menggunakan perangkap buaya yang dipasang JHL. – SabahNewsToday