Pilih Bahasa

Budak rentung dalam bilik air

Oleh Junaidi Ladjana

Keadaan kebakaran yang menyebabkan seorang mangsa kanak-kanak lelaki rentung membabitkan sebuah rumah di Kampung Melisau, Tenghilan, Tuaran. Gambar SNT/Ihsan Bomba

TUARAN: Seorang kanak-kanak lelaki rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Melisau, Tenghilan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa Joshua Patrick, 4, ditemukan di bilik air selepas gagal menyelamatkan diri ketika kebakaran berlaku.

Abang mangsa Shafiq Patrick, 6, melecur di bahagian kaki serta tangan manakala neneknya Miti Diki, 64, turut cedera di bahagian lengan.

Kedua-dua mangsa bagaimanapun berada dalam keadan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Tuaran.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, mayat mangsa sudah dibawa ke hospital berdekatan untuk tindakan lanjut.

“Rumah berkenaan didiami seramai enam individu di mana ketika kebakaran salah seorang mangsa gagal untuk menyelamatkan diri.

“Mayat kanak-kanak lelaki berusia empat tahun itu ditemui di bilik air berhampiran ruang tamu rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, siasatan awal kes itu diklasifikasikan sebagai kejadian mati mengejut.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah, berkata berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 5.06 pagi sebelum satu jentera dan EMRS bersama 11 anggota termasuk pegawai digerakkan dari Balai Bomba dan Penyelamat Tuaran.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, rumah berkenaan didapati musnah 90 peratus dan dilaporkan terdapat seorang kanak-kanak terperangkap sebelum mayatnya ditemui rentung sebaik api berjaya dikawal.

“Operasi terkawal pada jam 5.55 pagi dan tamat sepenuhnya sejam kemudian.

“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. -SabahNewsToday.