Pilih Bahasa

Budaya murid mencium tangan orang lebih tua di SK Luagan hasil program guru penyayang

Gambar Bernama

Laporan eksklusif oleh Mohamad Khairy Abdullah

KENINGAU, 13 Nov  — Amalan murid bersalam dan mencium tangan pengawal keselamatan sejurus  tiba pintu pagar Sekolah Kebangsaan (SK) Luagan di sini pada awal pagi yang tular di media sosial  baru-baru ini terhasil melalui program Guru Penyayang yang diterapkan di sekolah itu.

Guru Besar SK Luagan Junis Reddwan berkata ia bukan sesuatu yang baharu bagi sekolah itu kerana ia sudah dibudayakan sejak lapan tahun yang lalu, tetapi yang sangat menarik di sini  ialah murid-murid turut bersalaman dan mencium tangan sesiapa yang lebih tua daripada mereka.

Wartawan Bernama ketika berkunjung  ke sekolah itu turut disambut dengan salaman dan ciuman tangan oleh murid yang berada di sekitar .

“Murid-murid di sini bukan setakat mencium tangan guru, pengawal keselamatan, pekerja am tetapi mereka (murid) bersalaman dan mencium tangan ibu bapa atau sesiapa juga yang lebih tua daripada mereka,” kata Junis kepada Bernama di sini.

Beberapa hari lalu aksi murid bersalaman dan mencium tangan seorang pengawal keselamatan di sekolah itu dirakam dan dimuat turun dalam laman sosial oleh seorang warganet, Azwan Mahmin dengan tontonan 360,000  dan 11,500 perkongsian yang turut menarik perhatian Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik.

Junis berkata amalan murid-murid bersalaman dan mencium tangan sesiapa yang lebih tua daripada mereka termasuk guru dan pengawal keselamatan bukan sesuatu yang luar biasa kerana ia merupakan intipati program Guru Penyayang yang diperkenalkan di sekolah-sekolah di seluruh negara.

“Cuma yang luar biasa di sini ialah penerimaan murid terhadap pembudayaan itu secara holistik dan berterusan,”

“..Ini adalah satu kejayaan besar kepada guru-guru dan sekolah ini (SK Luagan), saya sangat berbangga dan akan berusaha gigih untuk memperkasakan displin murid-murid di sini,” katanya.

Junis menghargai keperihatinan Maszlee kerana melihat apa yang sedang berlaku di SK Luagan.

Beliau turut menghargai usaha Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Keningau Masly Wahip yang sentiasa perihatin terhadap perkembangan sekolah itu.

Sementara itu Pengawal Keselamatan sekolah itu Dali Udan, 27, ketika ditemui mengakui bahawa hubungan beliau dengan murid-murid di situ sangat rapat.

“Saya beranggapan bahawa kesemua murid-murid di sekolah ini seperti adik-adik saya sendiri .. saya nantikan kehadiran mereka ke sekolah pada setiap hari,” katanya.

Dali berkata murid-murid dari sekolah itu turut bersalam dan mencium tangannya jika terserempak di luar sekolah seperti di bandar atau kampung.

“Budaya ini sangat menarik dan satu kejayaan besar kepada warga pendidik di sekolah ini kerana berjaya mendisplinkan murid-muridnya sehingga ke tahap itu,” kata Dali.

— BERNAMA