Pilih Bahasa

Budaya positif di tempat kerja perlu terus diamalkan: Ewon

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Lebih 1,000 warga kerja Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah dan pejabat-pejabat daerah seluruh Sabah memeriahkan Sambutan Krismas dan Tahun Baharu kementerian itu, semalam.

Ewon (tengah) bergambar bersama tetamu-tetamu yang hadir pada majlis itu. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

Majlis anjuran Kelab Rekreasi dan Kebajikan KPLB Sabah dirasmikan oleh Menterinya, Datuk Ewon Benedick di Putera Ballroom Bukit Padang.

Dalam ucapannya, Ewon berkata majlis sambutan keagamaan seumpama itu yang julung kalinya diadakan adalah usaha Kelab Rekreasi dan Kebajikan KPLB Sabah dan akan diteruskan pada masa akan datang untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dan kerjasama antara warga kementerian dan pejabat-pejabat daerah seluruh Sabah.

Ewon bersama ahli jawatankuasa penganjur menyanyikan lagu-lagu Krismas. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

“Majlis sambutan keagamaan ini xkita mulakan pada tahun lepas seperti Majlis Berbuka Puasa bersama anak-anak yatim, Hari Raya Puasa di Pekampungan Mini Estate Sejahtera (Mesej) dan Hari Raya Korban di Kampung Sejahtera.

“Ini merupakan hasrat saya selaku menteri KPLB Sabah untuk mewujudkan budaya positif dan mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan pegawai dan kakitangan kementerian melalui sambutan seperti ini.

“Semangat kekeluargaan yang wujud dalam kalangan warga kerja kementerian bersama kakitangan pejabat-pejabat daerah seluruh Sabah dapat membentuk satu budaya kerja positif untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini,” katanya.

Ewon (dua dari kanan) menyampaikan hadiah cabutan tiket bertuah kepada salah seorang pemenang. – Gambar SNT/Ihsan KPLB Sabah

Turut hadir dua Pembantu Menteri KPLB negeri, Rasinin Koutis dan Dumi Pengiran Masdal; Setiausaha Tetapnya, Fredian Gan; Timbalannya, Aftar Nurajat, pegawai-pegawai daerah, pegawai-pegawai kanan dan warga kerja KPLB negeri itu.

Ewon berkata sambutan perayaan seumpama itu akan diteruskan dan selepas ini kementerian akan mengadakan sambutan Tahun Baharu Cina sebagai penghargaan kepada amalan saling hormat menghormati semua sambutan kebudayaan dan keagamaan yang disambut pelbagai kaum dan agama warga kementerian.

Pada majlis itu pelbagai acara menarik disusun termasuk persembahan nyanyian artis-artis undangan termasuk Rosario Bianis, persembahan karaoke, cabutan tiket bertuah dan pakaian terbaik. – SabahNewsToday