Pilih Bahasa

Budaya ukhwah, tuntut Ilmu perlu menyeluruh – Tun Juhar

Tun Juhar mengetuai perarakan yang bermula di Sutera Avenue ke Masjid Negeri, Sembulan. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

Kota Kinabalu: Budaya berukhwah dan menuntut ilmu perlu disuburkan dan menyeluruh serta tidak terbatas kepada program akademik formal sahaja.

Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin berkata ia bertujuan untuk mengupayakan generasi muda menjadi pemikir inovatif agar dapat meningkatkan daya saing serta membangunkan tahap ekonomi rakyat. 

“Generasi pewaris negara perlu diperkasakan dan diberikan lebih banyak pendedahan supaya dapat memahami aspirasi budaya inovasi untuk memacu perubahan dan pembangunan negara.

“Ini penting bagi memperkukuhkan sumber pertumbuhan ekonomi sedia ada selain membangunkan sistem kerja, produk dan perkhidmatan baharu,” ujarnya.

Aidi (kanan) menyampaikan cenderakenangan kepada Tun Juhar (tengah) sambil diperhati Hasbullah (kiri). – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

Tun Juhar yang ditemani isteri, Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Norlidah R.M Jasni turut menggesa semua pihak agar berkerjasama dan mengamalkan pendekatan luar kotak bagi untuk melakukan transformasi serta mengubah sesuatu perkara dengan lebih baik.

“Langkah ini adalah satu inisiatif yang dituntut dalam usaha melahirkan masyarakat yang bersemangat untuk maju, bukan sahaja dari segi teknikal, tetapi turut digabungkan dengan nilai-nilai keusahawanan,” ujarnya ketika menyampaikan perutusan pada Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Sabah 1441H/2019M. 

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam teks ucapannya menyatakan tema sambutan ‘Negara Rahmah, Umat Sejahtera’ mengingatkan masyarakat mengenai kepentingan perpaduan dalam hidup bermasyarakat.

Aidi (kiri) ketika menyampaikan ucapan diiringi Saifulzaman (kanan). – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

“Saling bertoleransi, menghormati, melestarikan semangat muhibah dalam kehidupan seharian serta semangat persaudaraan adalah faktor penyatuan yang utama.

“Teras utama kepada kejayaan Rasulullah SAW adalah kejayaan mempromosi dan melaksana prinsip penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial sehingga berupaya menyusun serta mengatur kehidupan masyarakat yang pelbagai.

Katanya, sejajar dengan perjuangan baginda mensejahterakan ummah, Kerajaan Sabah turut komited dalam memacu pembangunan dengan melaksanakan pelbagai program dan suntikan dana bagi memacu ekonomi negeri yang akhirnya dapat mensejahterakan rakyat secara keseluruhannya.

Lebih 8,000 orang hadir dalam majlis sambutan yang berlangsung di perkarangan Masjid Negeri. – Gambar SNT/Ihsan Jabatan Penerangan

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Induk bagi Sambutan yang berlangsung di perkarangan Masjid Negeri, pada Sabtu.

Perarakan yang bermula jam 7.30 pagi dari Sutera Avenue ke Masjid Negeri itu disertai lebih 6,000 orang yang mewakili 74 kontinjen dari pelbagai kementerian, jabatan, syarikat swasta, pertubuhan, institut pengajian dan sekolah.

Hadir sama, , Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Syed Abas Syed Ali; Menteri Pelajaran dan Inovasi, Datuk Dr Yusof Yacob; Setiausaha Persekutuan, Datuk Samsuni Mohd Nor; Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (Muis), Datuk Hasbullah Mohd Taha; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Datuk Saifulzaman Sangul serta ketua-ketua jabatan kerajaan, agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan. – Jabatan Penerangan