Pilih Bahasa

Budayakan amalan sedekah- Al-Hambra Juhar

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Pengerusi Yayasan Nur Jauhar (YNJ), Kolonel Al-Hambra Juhar menyeru masyarakat membudayakan saling membantu dan bersedekah terutama kepada golongan yang memerlukan.

Katanya selain dituntut dalam agama, amalan bersedekah turut memberi peluang kepada individu memperoleh pahala dan rezeki.

Pengerusi Yayasan Nur Jauhar, Kolonel Al-Hambra Juhar menyampaikan sumbangan kepada penerima. Gambar SNT / Ihsan Pejabat Adun Balung

“Jangan kedekut untuk bersedekah walaupun hanya bernilai RM1 kerana bagi yang kurang berkemampuan nilai itu sangat berharga.

“Sangat penting untuk membudayakan amalan bersedekah dalam kalangan masyarakat tidak kira peringkat umur sama ada tua atau muda kerana jika kita yang bukan membantu siapa lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ziarah Kasih Yayasan Nur Jauhar Ke Dun Balung, di Dewan Terbuka Kompleks Sukan Bandar Sri Indah, di sini, hari ini.

Pengerusi Yayasan Nur Jauhar, Kolonel Al-Hambra Juhar bersama Pengerusi Yayasan Nur Jauhar,Toh Puan Norlidah RM Jasni dan ADUN Balung, Datuk Osman Jamal menyantuni golongan penerima sumbangan. Gambar SNT / Ihsan Pejabat Adun Balung

Pada majlis itu YNJ menyantuni 150 orang terdiri daripada golongan asnaf, mualaf, anak yatim dan orang kurang upaya (OKU).

Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan Penasihat YNJ, Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Menurut Al-Hambra, pihaknya sentiasa mengadakan program seumpama itu bagi membantu dan meraikan golongan yang kurang bernasib baik.

“YNJ ini ditubuhkan sejak 2012 dan yayasan ini sudah banyak mengadakan program serupa di seluruh negeri dengan lebih 2000 orang penerima menerima manfaat,” katanya.

Penasihat Yayasan Nur Jauhar, Toh Puan Norlidah RM Jasni bersalaman dengan penerima sumbangan. Gambar SNT / Ihsan Pejabat Adun Balung

Jelasnya, penerima sumbangan dikenalpasti pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan supaya sumbangan kecil itu akan mampu meringankan beban penerima berkenaan.

“Esok (Khamis) kita akan ke Pulau Sebatik untuk program sama dan yang julung kali diadakan di sana dan selepas ini kita akan ke daerah Kuamut selepas proses kemaskini penerima diperoleh,” katanya.

Sementara itu Adun Balung, Datuk Osman Jamal ketika berucap pada majlis itu pula berkata kerjasama semua pihak amat diperlukan dalam mengenalpasti golongan yang kurang berkemampuan untuk dibantu.

“Penerima yang kita pilih untuk menerima bantuan YNJ ini jasil daripada maklumat Pengurusan Komuniti Kampung dengan Kerjasama Warisan Tawau dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Balung,” katanya. – SabahNewsToday