Pilih Bahasa

Buhavan Square – Kawasan Bebas Asap Rokok

Oleh Chris Maskilone

PENAMPANG: Kawasan Buhavan Square Donggongon di sini diisytiharkan sebagai kawasan Bebas Asap Rokok pada Isnin.

Menurut Pengerusi Penganjur Buhavan Square Bebas Asap Rokok, Honorsius Datuk Alfred Bosuin langkah tersebut adalah sebagai menyahut seruan Kerajaan Negeri Sabah untuk mematuhi peruntukan Peraturan 11 (1)(D), Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

Majlis pelancaran Buhavan Square sebagai Kawasan Bebas Asap Rokok. Turut hadir Adun Moyog Jenifer Lasimbang (dua kiri), Adun Kepayan Jannie Lasimbang (dua kanan) dan Honorsius (tiga kiri). Gambar SNT/Ihsan KPD

Ianya merupakan aktiviti JCI Intan Penampang dan Jabatan Kesihatan Malaysia Cawangan Penampang dengan kerjasama Majlis Daerah Penampang, katanya semasa majlis pelancaran di Pentad Buhavan Square.

“Setakat ini, beberapa kawasan di Bandar Donggongon telah diwartakan sebagai zon bebas asap rokok iaitu Taman Tugu Datuk Peter Mojuntin dan Taman Pekan Donggongon yang bersebelahan dengan pasar awam.

“Selaku pelaksana program ini, kita komited untuk memastikan kawasan premis di Buhavan Square bebas daripada asap rokok khasnya Bandar Donggongon menjadi kenyataan demi kesihatan dan kesejahteraan orang awam di daerah Penampang,” katanya.

Honorsius yang juga Pengerusi Penganjur Pertandingan Kampung Lestari daerah Penampang berkata kesemua kawasan di Moyog dan Kapayan akan menyertai pertandingan tersebut.

“Pertandingan ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu, Kepayan, Upper Moyog dan Lower Moyog.

“Kita amat menghargai komitmen, sokongan dan persetujuan Datuk Darell Leiking, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia merangkap Ahli Parlimen Penampang, Jannie Lasimbang, Adun Kapayan dan Jenifer Lasimbang, Adun Moyog untuk menjayakan program ini,” katanya.

Dalam majlis itu, Jannie menyerahkan borang pertandingan kepada 10 MPKK dari kawasan  Dun beliau manakala adiknya iaitu Jenifer menyerahkan borang pertandingan kepada 42 MPKK dalam kawasan Dun Moyog.

Pertandingan ini akan berlangsung selama satu satu tahun dan kampung-kampung yang menyertainya digalakkan membuat aktiviti berkaitan kebersihan, keceriaan, kecantikan dan kehijauan.-SabahNewsToday