Pilih Bahasa

Bulan Kemerdekaan semai semangat patriotisme pelajar

Oleh Sabah News Today

Ghulam bersama guru dan para pelajar SMK Pengalat Papar melaungkan kata-kata semangat merdeka. – Gambar SNT/Ihsan Bersatu

PAPAR: Program Bulan Kemerdekaan peringkat sekolah dapat memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar serta menyemai sikap cinta kepada negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar berkata dengan adanya semangat patriotisme dalam diri pelajar ia juga secara tidak langsung dapat memupuk kebanggaan mereka terhadap tanah air.

Katanya, pelbagai aktiviti boleh diadakan yang dapat memupuk semangat patriotisme dalam kalangan pelajar.

Ghulam menyampaikan hadiah kepada salah seorang pelajar dalam salah satu pertandingan yang diadakan sempena penutupan Bulan Patriotik SMK Pengalat Papar. – Gambar SNT/Ihsan Bersatu Papar

“Pelajar yang mempunyai semangat patriotisme ini pasti akan mempertahankan negara daripada ancaman musuh sepanjang masa.

“Oleh itu kita yakin program Bulan Kemerdekaan juga membolehkan pelajar menghargai pejuang kemerdekaan. Sesungguhnya jasa pejuang kemerdekaan patut dihargai,” katanya dalam ucapan perasmian penutupan Bulan Patriotik Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengalat Papar semalam.

Turut hadir Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa (PIBG) SMK Pengalat Papar, Sinning Bahrin dan Pengetua SMK Pengalat Papar, Zarida Mohd Junaidi.

Ghulam berkata aktiviti santai kemerdekaan seperti nyanyian lagu patriotik, pertandingan pakaian tradisional dan diklamasi  puisi sedikit sebanyak mendorong pelajar menyanyangi negara.

Menurut Ghulam yang juga Ketua Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Papar, program Bulan Kemerdekaan di sekolah juga dapat memupuk perpaduan di antara pelajar yang berbilang kaum.

Beliau berkata pelajar yang sedar kepentingan perpaduan kaum pasti tidak akan melakukan perbuatan yang menyinggung perasaan kaum lain. – SabahNewsToday