Pilih Bahasa

Bung dikecam Saddi

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Adun Sukau Datuk Saddi Rahman hari ini menyelar Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar atas tindakan beliau untuk tidak menyokong pindaan Rang Undang-Undang perlembagaan di Parlimen minggu lalu.

“Selaku ahli dewan undangan negeri yang berkhidmat di dalam kawasan Parlimen Kinabatangan, saya ingin meyatakan di dalam dewan yang mulia bahawa betapa saya merasa malu disebabkan ahli parlimen saya sendiri telah bertindak sedemikian.

Datuk Saddi Abdul Rahman. Gambar Fail SNT

“Sehingga mengakibatkan bukan sahaja kegagalan rang undang-undang tersebut, tetapi juga menghancurkan harapan rakyat negeri Sabah.

“Tidak hairan individu seperti ini telah mendapat kecaman daripada beberapa pemimpin dan juga rakyat sebagai seorang pengkhianat,” katanya semasa membahaskan usul terimakasih terhadap ucapan dasar kerajaan oleh TYT hari ini.

“Rakyat Sabah telah lama menderita selama 54 tahun lamanya dan apabila kita ada peluang keemasan untuk membuat pindaan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan berakhir dengan kegagalan, maka  rakyat Sabah dan generasi kita yang akan datang mungkin terpaksa menanggung penderitaan yang sama untuk lima atau enam dekad lamanya sebelum permohonan untuk pindaan yang serupa boleh dibuat lagi di Dewan Rakyat.”

Walaubagaimanapun, Saddi berkata di sebalik kegagalan ini, beliau menyokong kenyataan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyatakan bahawa pihak kerajaan negeri akan terus menuntut hak-hak negeri Sabah yang telah dijamin oleh Perjanjian Malaysia (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

PERTAMBAHAN JUMLAH BAJET TAHUNAN DAN PERUNTUKAN ADUN 

Saddi turut mencadangkan agar Bajet tahunan negeri ditambah dari jumlah RM4 billion ke RM10 billion selari dengan konsep Sabah Baharu.

“Jiran kita, Sarawak, mempunyai jumlah Bajet RM11 billion,” katanya.

“Pada pendapat saya, jika kita ingin mencapai matlamat Sabah yang baru, Bajet tahunan negeri kita harus juga yang baru memandangkan kita memerlukan peruntukan yang lebih besar untuk memacu pembangunan dan perubahan yang kita impikan didalam konteks Sabah Baharu,” katanya.

Saddi percaya kerajaan negeri mampu melakukan penambahan Bajet tahunan ini dengan menuntut peruntukan-peruntukan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan di samping hak tuntutan lain seperti royalti minyak, ‘special grant’ 40 peratus yang boleh dituntut dari hasil Persekutuan yang diperoleh dari Sabah seperti yang termaktub dalam Perkara 112D di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Pada pendapat saya ini harus dilakukan kerana jika jumlah Bajet tahunan kita lebih kurang sama seperti masa pemerintahan kerajaan dahulu, maka amat sukar bagi kita untuk melakukan perubahan-perubahan yang kita sudah laung-laungkan,” katanya.

Saddi juga mencadangkan agar peruntukan tahunan Adun ditambah daripada RM1 juta kepada RM5 juta.-SabahNewsToday