Pilih Bahasa

Bung Moktar cari publisiti murahan: Peter

Oleh Junaidi Ladjana

MEMBAKUT: Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Peter Anthony menyifatkan Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai cuba meraih publisiti murahan dengan menuduhnya menceroboh markas Pusat Daerah Mengundi (PDM) BN di Pimping, kelmarin.

Peter (hadapan tengah) bersama pemimpin dan penduduk di PDM Sinoko Membakut. Gambar SNT/ Junaidi Ladjana

Peter berkata Bung perlu membuat penelitian terlebih dahulu sebelum membuat sebarang tuduhan.

“Saya percaya taktik ini cuma mencari publisti murahan… saya bagi tahu dengan Pengerusi BN yang suka minum darah itu, supaya sensitif sedikit.

“Periksa dahulu, ini Kimanis bukan Sandakan,” katanya menjawab dakwaan Bung yang menuduhnya menceroboh PDM BN di Pimping.

Peter menjelaskan, apa yang berlaku di markas itu seperti dimaksudkan Bung adalah beliau sebenarnya dijemput oleh ahli Parti Bersatu Sabah (PBS) di kawasan berkenaan yang ingin menyertai Warisan.

“Saya datang ke tempat itu sebagai kapasiti diundang ke PDM Pimping bagi menerima lebih kurang 450 ahli Pertubuhan Kadazan Dusun Murut (KDM) Malaysia daripada PBS untuk menyertai kita.

“Kebetulan pada hari itu, markas BN berada bersebelahan dengan majlis itu diadakan. Selepas majlis itu diadakan, maka saya diundang oleh bekas ahli BN ke sekitar kawasan markas mereka,” katanya ketika ditemui pada program Ramah Mesra KDM di Kampung Sinoko, di sini, hari ini.

Peter bersalaman dengan orang ramai yang hadir di majlis ramah mesra KDM Malaysia di PDM Sinoko Membakut. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

Selasa lalu, Bung dalam satu sidang medianya menyelar tindakan Menteri Pembangunan dan Infrastruktur Sabah itu yang didakwa sengaja menceroboh markas PDM BN dan berkata pemimpin Warisan itu sebagai biadap.

Peter berkata beliau bersedia untuk berhadapan dengan Bung.

“Tuduhan beliau yang akan buat sesuatu terhadap saya itu, terpulanglah… silakan.

“Saya percaya ini disebabkan BN akan kalah dalam PRK Kimanis ini. Rata-rata orang bila kita tanya terutamanya masyarakat KDM, BN ditolak malah akan terkubur dan tidak akan bangkit semula di Kimanis dan Sabah,” katanya. – SabahNewsToday