Pilih Bahasa

Bung Moktar nafi Umno/BN desak Anifah jadi calon

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

Bung Moktar (kanan) bersalaman dengan petugas petugas di PDM Simpangan, Kimanis. – Gambar SNT/Ihsan Umno Sabah

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin menafikan Umno dan Barisan Nasional (BN) mendesak bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman untuk bertanding atas tiket BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Bung Moktar menjelaskan, apa yang berlaku ialah Umno Sabah pernah mencadangkan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar Anifah dicalonkan semula bagi kerusi Parlimen Kimanis jika beliau bersetuju bertanding atas tiket BN.

Bagaimanapun Bung Moktar berkata, selepas mengadakan pertemuan dan berbincang, Anifah menolak dengan alasan mahu menumpukan perhatian kepada pilihan raya umum Ke 15 akan datang.

Bung Moktar (duduk hadapan, tengah) bersama rombongan Umno Sabah di PDM Simpangan Kimanis. – Gambar SNT/Ihsan Umno Sabah

“Tidak timbul isu Zahid memujuk dan memaksa Anifah untuk bertanding semula di Kimanis kerana perbincangan telah kami lakukan sebelum ini bersama beliau,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama petugas petugas markas BN di pejabat Umno Bahagian Kimanis, semalam.

Dalam lawatan ke beberapa buah Pusat Daedah Mengundi (PDM) di Kimanis, Bung Moktar berkata beliau berpuas hati dengan kesiapsiagaan jentera BN di semua PDM, namun menyifatkan ia perlu terus   dipertingkatkan sehingga tarikh pembuangan undi pada 18 Januari depan.

Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Biro Penerangan Multimedia dan Pendidikan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Dr Yusuf Yakub bahawa BN/Umno menghadapi kemelut dalaman.

Bung (kiri, hadapan) mengadakan taklimat kepada petugas petugas markas yang turut dihadiri bersama oleh bapa angkat Umno Kimanis yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman. – Gambar SNT/Ihsan Umno Sabah

Mengulas lanjut Bung Moktar berkata perkara itu hanya cadangan Umno Sabah kepada Ahmad Zahid selaku Presiden tanpa menjejaskan kuasa autonomi Umno negeri itu.

Menurut Bung Moktar, Umno negeri itu memiliki ramai pemimpin berbakat terutamanya di bahagian Kimanis yang boleh diketengahkan menjadi calon, cuma pihaknya membuat tawaran kepada Anifah kerana akur dan  faham beliau masih mempunyai penyokong yang ramai di Parlimen Kimanis.

”Anifah sudah membuat keputusan menolak tawaran dan kami kena hormatinya namun apa yang membanggakan kami beliau terus menyokong perjuangan kami mempertahankan kerusi BN di Kimanis bagi memenuhi aspirasi rakyat,” katanya. – SabahNewsToday