Pilih Bahasa

Bung tuduh Peter ceroboh markas BN/Umno; AJK Bahagian Kimanis Warisan masuk Umno

Oleh Junaidi Ladjana

KIMANIS: Pengerusi Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyelar tindakan Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Peter Anthony yang didakwa menceroboh markas Barisan Nasional/Umno di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kuala Pos, Ulu Kimanis, petang tadi.

Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan menyifatkan tindakan Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur sebagai ‘biadap’.

Bung menyerahkan baju BN kepada ahli Warisan yang bertindak meninggalkan parti tadi. Gambar SNT/Junaidi Ladjana

“Kita tidak menceroboh markas parti lawan, macam Peter buat tadi petang di Kuala Pos. Dia (Peter) serbu markas kita menyanyi dan menari.

“Ini Peter terlampau biadap, kurang ajar… saya minta dia jangan buat (tindakan itu) kerana jika dia buat waktu saya ada, dia akan susah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Markas Utama BN, Kimanis Centro, malam tadi.

Dalam sidang media itu, Bung turut mengumumkan kemasukan seorang ahli daripada Warisan iaitu Pengiran Yusuf Pengiran Abdullah yang merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) Warisan Bahagian Kimanis.

Turut menyertai Pengiran Yusuf, kira-kira 200 ahli Warisan dari cawangan berkenaan.

Pengiran Yusuf berkata dia mengambil keputusan keluar dari Warisan kerana tidak puas hati dengan cara pentadbiran selain hilang kepercayaan terhadap pemimpin parti itu.

Mengulas lanjut, Bung berkata kemasukan Pengiran Yusuf yang juga Ketua Cawangan Kampung Sri Serbang, Bongawan itu mampu melonjakkan momentum pihaknya menjelang hari pengundian 18 Januari ini.

“Kita bukan macam parti Warisan, buat video, buat wayang…kita tidak.

“Kita tahu kita pembangkang, kalau kita buat wayang, orang tidak akan hormat kita, yang datang ini memang kualiti punya pemimpin,” katanya.- SabahNewsToday