Pilih Bahasa

BUNG, USAH HIPOKRIT : SADDI

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau Datuk Saddi Abdul Rahman berharap kenyataan Ketua Umno Sabah Datuk Bung Mokthar Radin menyokong Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bukanlah satu kenyataan hipokrit.

“Saya mengalu-alukan kenyataan Bung namun ianya perlulah berlandaskan keikhlasan dan fakta yang sesuai dengan konteks senario politik hari ini.

Datuk Saddi Abdul Rahman. Gambar Fail SNT

“Bukan sekadar retorik dan berbentuk hipokrit,” katanya mengulas kenyataan Bung kelmarin menyatakan kesediaan menyokong Mohd Shafie jika dasar pemerintahan beliau baik.

Berkenaan kenyataan Bung yang berkeras Umno Kinabatangan tidak terjejas dengan kemasukan ramai ahli parti ke dalam Parti Warisan Sabah, Saddi berkata Bung ialah contoh pemimpin Umno tipikal yang mempunyai “penyakit sindrom penafian.”

“Beliau tidak dapat menerima bahawa Umno Kinabatangan dan Umno Sabah sudah lumpuh ekoran pemimpin-pemimpin dan ahlinya sudah  keluar parti.

“Ada yang menyertai Warisan dan ada yang sudah menjadi wakil bebas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Saddi menjelaskan bahawa di bahagian Umno Kinabatangan sahaja sudah lebih 60 peratus ketua dan ahli cawangannya menyertai Warisan berikutan kemasukannya ke dalam parti pimpinan Mohd Shafie.

Terdapat juga pemimpin Umno Sabah yang telah lebih awal meninggalkan Umno sebaik selepas Pilihanraya Umum ke-14 lalu.

“Cukup-cukuplah jadi pemimpin yang hipokrit. Kita akan buktikan kepada Umno Kinabatangan dan Umno Sabah bahawa parti mereka tidak lagi relevan dalam konteks politik negeri ini.

“Pulanglah ke Malaya sebab kami ada sudah parti Warisan yang berjuang untuk mempertahankan hak-hak rakyat Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.

Saddi berkata MA63 sebenarnya telah terhakis kerana tidak mendapat perhatian dari para pemimpin Umno sejak 55 tahun yang lalu.

“Akhirnya hari ini negeri Sabah jauh ketinggalan dalam semua aspek pembangunan dan ekonomi,” katanya.-SabahNewsToday