Pilih Bahasa

Buruh asing terjun sungai dikhuatiri lemas

Oleh Junaidi Ladjana

PENAMPANG: Seorang lelaki yang bekerja sebagai buruh di sebuah tapak pembinaan berhampiran Kampung Sodomon, di sini, dikhuatiri lemas selepas terjun ke dalam sungai bagi mengelak ditahan pihak berkuasa yang menjalankan operasi, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa lelaki dewasa dikenali sebagai Burhan dikatakan melarikan diri selepas melihat sepasukan Jabatan Imigresen menjalankan operasi di kawasan tapak pembinaan berkenaan.

Anggota polis menjalankan pemeriksaan di mana buruh asing terbabit telah terjun. Gambar SNT/Ihsan IPD Penampang

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, lelaki itu melarikan diri dan bertindak terjun ke dalam sungai di Kampung Sodomon bagi mengelak ditahan.

“Menurut saksi, lelaki itu hilang ketika cuba menyeberangi sungai berkenaan.

“Susulan itu, saksi terus menghubungi talian kecemasan untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya ketika dihubungi.

DSP Mohd Haris. Gambar Fail SNT

Mohd Haris berkata, pihak bomba dihubungi untuk bantuan mencari dan menyelamat (SAR) namun mangsa gagal ditemui.

“Usaha SAR dihentikan petang tadi kerana cuaca gelap dan akan disambung semula pagi esok,” katanya.-SabahNewsToday