Pilih Bahasa

‘Business as usual’ – Frankie

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Cakap-cakap mengenai kedudukan kerajaan Sabah khususnya barisan Kabinet negeri ini tidak timbul meskipun berlaku perubahan di peringkat Persekutuan.

Pemangku Pengerusi Dap Sabah, Datuk Frankie Poon berkata tugas dan tanggungjawab selaku menteri dijalankan seperti biasa tanpa sebarang perbincangan berkaitan gabungan atau pun perubahan kerajaan seperti digembar-gemburkan sesetengah pihak.

Frankie (tengah) menyampaikan sijil perkhidmatan cemerlang kepada salah seorang penerima sempena majlis perasmian Inisiatif Pendigitalan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KKKR. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

“Business as usual (tugas seperti biasa)… apa yang saya tahu tidak ada apa-apa isu lain dibincangkan dan kami yakin di bawah kerajaan negeri sedia ada dan kepimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Ketua Menteri begitu konsisten selama ini dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat Sabah terlebih dahulu dalam apa juga perkara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pandangan beliau selaku menteri Kabinet negeri berkaitan situasi politik semasa yang berlaku dalam negara terutama pembentukan kerajaan baharu di peringkat Persekutuan.

Terdahulu beliau yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah melancarkan Inisiatif Pendigitalan dan menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang KKKR di sini, hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Datu Rosmadi Sulai; Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Datuk Janet K L Chee dan ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan di bawah KKKR Sabah.

Frankie juga menegaskan kesemua 43 Ahli Dewan Undangan Negeri telah menyatakan komitmen mereka terhadap kepimpinan ketua menteri dan kerajaan negeri Sabah.

Ditanya mengapa kerajaan negeri belum menyatakan pendirian terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ini, Frankie berkata;

“Anda (media) harus bertanya kepada ketua menteri, saya tidak boleh bercakap mewakili beliau,” ujarnya. – SabahNewsToday