Pilih Bahasa

Cabaran hidup bakar semangat raih 8A dalam SPM 2019

Oleh Mohd Nazllie Zainul

Lesvianna menunjukkan keputusan 8A diraihnya dalam SPM 2019 sempena pengumuman peperiksaan terbabit, hari ini. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

NABAWAN: Walaupun kehilangan bapa seawal usia 10 tahun serta terpaksa berjauhan dengan ibu namun perkara itu bukan penghalang buat seorang pelajar cemerlang di daerah ini apabila meraih keputusan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019. 

Lesvianna Lateh, 18, berkata mendiang bapanya salah satu membakar semangat untuk berjaya dalam pelajaran.

“Ini hadiah terbesar saya buat ibu dan mendiang bapa. Walaupun bapa sudah tiada tetapi semangatnya sering bersama saya.

“Dulu, bapa tidak pernah berputus asa semata-mata mahu menyara kehidupan kami sekeluarga. Bapa tahu dia sakit tetapi tetap bekerja sebagai petani untuk pastikan kami dapat hidup selesa.

“Selepas bapa meninggal dunia, ibu mengambil tanggungjawab mencari nafkah  keluarga sebagai pekerja pembersihan di Labuan,” katanya yang hadir berseorangan.

Lesvianna (tiga dari kanan) bersama barisan guru SMK Nabawan ll dan beberapa pelajar cemerlang lain selepas pengumuman SPM 2019 di Nabawan. – Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabawan ll itu berkata dirinya sudah biasa berdikari kerana sebelum ini selepas kematian bapa, dia tinggal bersama nenek sebelum berpindah dan bersekolah di Tenom ketika tingkatan satu sehingga tingkatan tiga.

Anak keempat daripada enam beradik itu menyatakan sewaktu tingkatan empat barulah dirinya berpindah ke sekolah terbabit hinggalah tamat persekolahan di tingkatan lima.

“Sepanjang bersekolah di sini, saya memilih  tinggal di asrama agar mampu memberi perhatian sepenuhnya kepada pelajaran.

“Saya anak tunggal perempuan dalam keluarga dan tiga lagi abang saya tidak habis sekolah. Oleh itu, besar harapan ibu serta adik-beradik lain agar diri melanjutkan pelajaran ke menara gading,” katanya bercita-cita menjadi seorang jurutera.

Sementara itu, ditanya berkaitan pendekatan diamalkannya hingga mampu meraih keputusan cemerlang, Lesvianna berkata dia dan rakan-rakan biasanya bangun awal kerana perlu menghadiri kelas tambahan seawal jam 5 pagi sebelum pergi ke kelas pada waktu pagi.

Warga pendidik SMK Nabawan ll bersama semua calon SPM 2019 selepas pengumuman peperiksaan berkenaan di Nabawan. -Gambar SNT/Mohd Nazllie Zainul

“Selepas itu, kami akan mengulangkaji pelajaran pada sebelah petang sekiranya tiada  aktiviti lain.

“Bagaimanapun, dapatkan rehat yang cukup disebabkan ia boleh membantu  kita mengingati pelajaran.

“Selain itu, saya akan membuat nota dengan kefahaman sendiri. Sekiranya ada tajuk yang kurang difahami, saya terus rujuk kepada guru subjek berkaitan,.

“Penting juga untuk kita membantu rakan-rakan ekoran berpendapat cara seumpama itu turut membantu diri lebih memahami sesuatu mata pelajaran,” katanya dalam nada bersyukur.

Turut disampaikn taklimat berkaitan kerjaya masa hadapan oleh Pegawai Penerangan Daerah Nabawan, Asmidar Zainol. – SabahNewsToday