Pilih Bahasa

Cadangan bina Pejabat Mahkamah Syariah dan Mahkamah Anak Negeri Pitas dalam RMK12

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Cadangan pembinaan bangunan Pejabat Mahkamah Syariah dan Mahkamah Anak Negeri Pitas telah dimasukkan dalam perancangan kerajaan bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Datuk Aidi Mokhtar berkata kelulusan pembinaan bangunan mahkamah tersebut hendaklah tertakluk kepada syarat bahawa tapak adalah tersedia dan keluasan tidak kurang daripada setengah hektar.

Aidi (kiri) dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Ewon Benedick (dua kiri) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah. – Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

Beliau berkata sebagai menjawab pertanyaan Datuk Bolkiah Ismail (Pitas-Warisan) berkaitan status terkini cadangan pembinaan bangunan Pejabat Mahkamah Syariah dan Hal Ehwal Anak Negeri Pitas.

Sementara itu Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Datuk Peter Anthony berkata kemajuan pelaksanaan projek pembinaan jalan raya Telipok-Kiulu-Rondogung-Ranau telah mencapai 97.03 peratus siap.

“Ia mencapai 97.03 peratus berbanding jadual asal dan projek ini dijangka siap pada 23 Disember 2019,” katanya pada sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Joniston Bangkuai (Kiulu-PBS) berkenaan tempoh siap sepenuhnya pembinaan jalan raya Telipok-Kiulu-Rondogung-Ranau. – SabahNewsToday