Pilih Bahasa

Cadangan guna IMM13 untuk pendokumentasian warga asing di Sabah akan diteliti – Hamzah

KUALA LUMPUR, 4 Ogos — Cadangan  dokumen IMM13 digunakan bagi menggantikan Kad Burung-Burung dan Sijil Banci yang dimiliki migran di Sabah akan diteliti Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau juga berkata cadangan penggunaan dokumen IMM13 itu juga sedang diperhalusi secara strategik oleh kerajaan. 

Datuk Seri Hamzah Zainudin. Gambar Bernama

“Ia sebagai langkah memastikan usaha untuk mendokumentasikan golongan berkenaan dapat dilaksanakan  dengan berkesan.

Cadangan strategi pendokumentasian warga asing di Sabah menggunakan suatu dokumen imigresen sedia ada seperti IMM13 adalah tertakluk kepada peruntukan undang-undang sedia ada bagi memastikan semua warga asing termasuk pendatang tanpa izin mempunyai suatu dokumen perjalanan yang sah,” katanya ketika menggulung perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Hamzah berkata perkara itu penting bagi membolehkan kerajaan menentukan hala tuju selanjutnya pendatang tanpa izin di Sabah seperti pengusiran ke negara asal.

“Selaras dengan pentadbiran kerajaan kini, platform JKPWAS dijangka diteruskan dengan objektif dan matlamat yang sama sebagai salah satu usaha kerajaan dalam menguruskan isu-isu warga asing di negeri Sabah dan keselamatan negeri Sabah secara keseluruhannya,” katanya.

JKPWAS ditubuhkan kerajaan bagi menangani isu pengurusan pendatang tanpa izin di negeri itu dan ia bertanggungjawab untuk mengkaji dan membincangkan isu berkaitan pendatang dan orang asing di Sabah.

— BERNAMA