Pilih Bahasa

Cadangan hanya bersifat sementara: Mohd Shafie

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Cadangan untuk menghalang pendatang tanpa izin (PTI) daripada memasuki Sabah dengan cara menempatkan mereka di pulau yang ditetapkan, hanyalah bersifat sementara (transit).

“Ianya adalah untuk mengelakkan kemungkinan elemen-elemen negatif daripada memasuki negeri ini,” tegas Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Mohd Shafie menyampaikan ucapan penggulungan Jabatan Ketua Menteri pada hari terakhir persidangan Dewan Undangan Negeri pada Khamis. Gambar SNT/Ihsan JKM

Beliau mengulas kenyataannya mengenai pendekatan yang akan diambil sekiranya berlaku ‘influx’ atau kemasukan beramai-ramai rakyat asing dari negara jiran seperti mana yang berlaku pada tahun 1970an dahulu.

Mohd Shafie juga sekali lagi menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tidak terlibat dalam memberikan dokumen kewarganegaraan kepada PTI.

“Malah kerajaan sentiasa berusaha sedaya upaya memastikan PTI yang ditahan, diusir pulang ke negara asal mereka secara berterusan,” katanya dalam ucapan penggulungan perbahasan usul terima kasih ke atas ucapan dasar kerajaan dibentangkan oleh Yang DiPertua Negeri bagi Jabatan Ketua Menteri pada Khamis.

Mohd Shafie juga berkata tiada keperluan bagi penubuhan satu Jawatankuasa Khas mengkaji dan mencadangkan langkah-langkah mengatasi kebanjiran PTI seperti yang dicadangkan oleh Adun Kemabong Jamawi Jaafar.

Katanya ketika ini telah wujud sebuah jawatankuasa yang mempunyai peranan tersebut iaitu Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah (JKPWAS) yang ditubuhkan selaras dengan cadangan yang dikemukakan dalam Laporan Siasatan Royal Commission of Inquiry (RCI) mengenai Pendatang Asing di Sabah.

Program Pemutihan (Regularisasi)

Menjawab mengenai isu Program Pemutihan yang dibangkitkan oleh Adun Tambunan Datuk Dr Jeffrey Kitingan, Mohd Shafie berkata setakat 16 April jumlah keseluruhan PTI yang telah didaftarkan adalah sebanyak 10,323 (termasuk tanggungan), iaitu 10,195 di sektor perladangan dan 128 di sektor pertanian.

Menurut beliau, kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Program Pemutihan (Regularisasi) melibatkan PTI yang ada dan bekerja di Sektor-Sektor Perladangan, Pertanian dan Sub-Sektor Pertanian bermula dari 1 April 2019 sehingga 30 September 2019.

Sementara itu, katanya dakwaan oleh Adun Kiulu Datuk Joniston Bangkuai bahawa terdapat 200,000 PTI yang tidak diterima di negara asal mereka adalah tidak tepat kerana tidak ada mana-mana agensi kerajaan yang menyimpan data sedemikian.

Penarikan balik larangan pengunaan ‘Pump Boat’

Ketua Menteri turut menafikan dasar penarikan balik larangan ke atas penggunaan pump boat mempunyai kaitan dengan penyusupan warga asing yang disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas.

Beliau memberitahu Adun Apas Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang membangkitkan isu berkenaan bahawa kerajaan menarik balik larangan sebagai satu usaha membantu rakyat B40 di kawasan Pantai Timur.

Ujarnya pump boat ini merupakan mod pengangkutan untuk pergerakan dan mencari rezeki sebagai nelayan dan tiada kaitan dengan penyusupan pengganas.

Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan turut memastikan penggunaan pump boat ini tidak disalahgunakan bagi tujuan jenayah dengan memperkenalkan satu kaedah pengenalpastian pemilik pump boat.

Pemilik pump boat boleh dikenalpasti melalui pendaftaran dan identiti warna pump boat yang hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia sahaja, tambahnya.

Perkhidmatan Awam

Tentang isu hak anak-anak Sabah untuk mengetuai agensi-agensi persekutuan di negeri ini yang dibangkitkan oleh Adun Tamparuli Datuk Jahid Jahim, beliau berkata daripada 141 jawatan Ketua Jabatan Persekutuan yang telah diisi di Sabah, 79 orang (56%) adalah dari Sabah, 56 orang (39.70%) daripada Semenanjung dan 6 orang (4.3%) dari Sarawak.

“Kerajaan Negeri komited untuk memastikan hak anak-anak Sabah terjamin melalui pelantikan mereka bagi mengetuai jabatan dan agensi Persekutuan di Sabah.

“Sebagai makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini, 80 peratus atau 86,336 daripada 108,357 jawatan yang diisi di Jabatan Persekutuan dan agensi di Sabah adalah disandang oleh anak-anak Sabah setakat bulan April tahun 2019,” katanya.

Penaiktarafan daerah-daerah kecil

Berkenaan dengan cadangan supaya Sukau dan Tungku dinaiktaraf menjadi sebuah daerah penuh, Mohd Shafie berkata kerajaan perlu meneliti dan mengkaji terlebih dahulu dari pelbagai aspek.

Mengenai cadangan Adun Membakut Datuk Ariffin Arif agar Membakut dinaik taraf menjadi daerah penuh, beliau menjelaskan cadangan tersebut sebenarnya telahpun dikemukakan ke mesyuarat Jemaah Menteri sejak 2013 tetapi tidak diluluskan.

“Justeru, cadangan ini akan diteliti semula untuk pertimbangan yang sewajarnya di bawah kerajaan baharu,” katanya.

Bagi menjawab pertanyaan Adun Kiulu mengenai perkembangan Pejabat Daerah Kecil Kiulu, Mohd Shafie berkata Kertas Kabinet sedang dilengkapkan dengan mendapatkan maklumat dari beberapa agensi yang terlibat.

“Ini untuk mengenalpasti jabatan-jabatan serta agensi kerajaan yang perlu ditempatkan di sana bagi kemudahan penduduk kelak,” katanya.-SabahNewsToday