Pilih Bahasa

CADANGAN KETUA MENTERI SABAH GUGURKAN ISTILAH NEGERI DISAMBUT BAIK

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Kota Kinabalu DAP Chan Foong Hin menyatakan sokongannya terhadap cadangan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal agar  Sabah tidak lagi dirujuk sebagai sebuah negeri dalam dokumen rasmi kerajaan sebaik sahaja Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dipinda.

Ketua Menteri dilaporkan pada bertarikh 17 Mac sebagai berkata bahawa kerajaan Sabah bercadang menggugurkan istilah “negeri” selepas rang undang-undang pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang akan dibentangkan pada persidangan kali ini diluluskan.

Chan Foong Hin. Gambar Fail SNT

Mohd Shafie turut menyatakan sokongan yang mencukupi daripada ahli-ahli Dewan Rakyat amat penting agar pindaan kepada Perkara 1(2) dapat diluluskan untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam Persekutuan Malaysia.

“Kali ini saya amat yakin kita akan mendapat sokongan majoriti dua pertiga,” kata Chan.

Beliau berkata pada tahun 1976 semasa pindaan dibuat terhadap Perkara 1(2) seterusnya menurunkan status Sabah dan Sarawak sebagai hanya antara 13 negeri dalam Malaysia, tiada satu pun ahli Parlimen dari kedua negeri itu membantah.

Untuk rekod, empat Ahli Parlimen yang tidak menyokong pindaan 1976 tersebut ialah tiga dari DAP dan satu dari Pekemas iaitu Lim Kit Siang, Farn Seong Than, Lee Lam Thye dan Dr Tan Chee Koon.

Menurut beliau, DAP tidak mempunyai seorang pun ahli Dewan Rakyat dari Sabah pada tahun 1976 namun wakil rakyatnya dari lain kawasan pada ketika itu menyuarakan bantahan kerana mereka tahu Sabah dan Sarawak akan kerugian berikutan pindaan itu.

“Saya faham pada tahun 1976, ahli-ahli Dewan Rakyat Sabah dan Sarawak (tidak dapat membantah) atas kekangan sebagai ahli Barisan dan menurut arahan wip parti.

“Namun, tiada lagi kes sedemikian pada kali ini terutama bagi ahli Parlimen Gagasan Parti Sarawak (GPS).

“Amatlah tidak masuk akal sekiranya mereka (wakil GPS) tidak mahu menyokong atau enggan mengambil bahagian dalam undian untuk meluluskan pindaan ini yang bertujuan untuk mengembalikan status negeri mereka kepada rakan kongsi sebagaimana sebelum tahun 1976,” katanya.

“Atau apakah ahli-ahli Dewan Rakyat dari Sarawak ini sanggup untuk dimalukan bagi kali kedua? Mereka harus ingat bahawa mereka mempunyai tanggungjawab kepada pengundi mereka.

“Rakyat kini lebih berani terutama selepas 9 Mei 2018 (PRU14) dan mereka tidak akan teragak-agak menghukum wakil rakyat yang gagal menjalankan tugas dalam pilihanraya akan datang,” ujar Chan.

Chan berkata pada 5 April 2016, dalam kapasiti beliau sebagai Adun Sri Tanjung telah membuat usul di Dewan Undangan Negeri agar menolak Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan yang dipinda pada tahun 1976.

Dalam masa sama, usul beliau turut mencadangkan agar undang-undang berkaitan digubal untuk mengisytiharkan Sabah sebagai rakan kongsi dengan Malaya dan Sarawak.

Malangnya, usul tersebut telah ditolak.

“Semasa di bawah Barisan dahulu amat menyedihkan tetapi kali ini saya percaya, ia akan berjaya,” katanya.-SabahNewsToday