Pilih Bahasa

Cadangan pembinaan balai bomba di pekan memerlukan akan dikemukakan: Jaujan

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri belum bercadang untuk membina balai bomba di Pekan Kundasang dan Bingkor dalam tempoh terdekat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong berkata bagi Pekan Kundasang, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah menempatkan Kumpulan Bomba Bantuan `Mountain Search & Rescue’ (Morsar) yang beroperasi sedia ada di Balai Bomba dan Penyelamat Ranau.

Jaujan (kanan) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah. – Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Manakala bagi Pekan Bingkor pula ia diletakkan di bawah jagaan Balai Bomba dan Penyelamat Keningau yang jaraknya 9.8 kilometer sahaja.

“Bagaimanapun kementerian saya akan mengemukakan cadangan pembinaan balai bomba di pekan yang memerlukan untuk rancangan masa depan,” katanya pada sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Datuk Dr Joachim Gunsalam (PBS-Kundasang) berhubung cadangan pembinaan sebuah balai bomba di Pekan Kundasang dalam masa terdekat.

Jaujan yang juga Mentei Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata hasrat kementerian sememangnya ingin mewujudkan balai bomba di setiap daerah.

Namun katanya untuk membina kemudahan balai bomba itu adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. – SabahNewsToday