Pilih Bahasa

Cadangan penggubalan enakmen perkahwinan dibentang ke Dun pada Ogos ini

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Cadangan penggubalan pertama enakmen perkahwinan di negeri ini akan dibentangkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri Sabah pada Ogos ini oleh Kementerian Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah.

Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Janie Lasimbang berkata pembentangan itu tidak mengecualikan Mahkamah Anak Negeri yang tidak mempunyai enakmen berkaitan had umur dalam perkahwinan.

Janie (dua dari kiri) dalam sidang media selepas merasmikan penutupan Bengkel Menghentikan Perkahwinan Bawah Umur 18 Tahun di Sabah. – Gambar SNT/Sitti Nor Azizah Talata

“Akta itu nanti akan membolehkan had umur perkahwinan wanita ditetapkan pada usia 18 tahun manakala lelaki pula 19 tahun bagi Sabah berbanding had umur minimun sebelum ini iaitu 16 (wanita) dan lelaki pula 18 tahun.

“Penyelarasan berhubung had umur yang diperkenalkan oleh Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga itu telah digunakan di beberapa negeri seperti Selangor,” katanya dalam sidang merasmikan Bengkel Menghentikan Perkahwinan Bawah Umur 18 Tahun di Sabah.

Seminar selama tiga hari itu disertai oleh jabatan dan agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini.

Hadir sama dalam bengkel itu ialah Timbalan Wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) Malyasia, Radoslaw Rzehak dan Setiausaha Tetap Kementeriannya, Faimin Kamin.

Sebelum ini Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Wanita dan Pembangunan Keluarga telah menyelaraskan dan menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun berbanding 16 tahun.

Di Sabah pula, bagi orang bukan Islam, perkahwinan anak negeri mengikut Undang-Undang Adat sah dan diiktiraf di bawah Akta Memperbaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (LRA) yang mana perkahwinan dan perceraian tertakluk kepada Undang-Undang Adat atau adat orang asli kecuali mereka memilih untuk berkahwin di bawah LRA. – SabahNewsToday