Pilih Bahasa

Cadangan sebuah agensi kerajaan ditempatkan di bawah KPLB

Oleh Mohd Nazllie Zainul

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah sudah mengemukakan cadangan kepada Kabinet Negeri bagi menempatkan sebuah agensi kerajaan negeri di bawah kementerian itu bagi melipatgandakan usaha mensejahterakan rakyat luar bandar.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata dengan adanya agensi kerajaan berkenaan, ia akan membantu meningkatkan usaha kementerian membasmi kemiskinan di Sabah.

Ewon berbincang sesuatu dengan Datuk Peter Anthony (kanan) selepas persidangan ditangguhkan hari ini. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai

“Saya sendiri sudah mengemukakan cadangan ini kepada Kabinet Negeri berkaitan keperluan atau cadangan supaya sebuah badan berkanun kerajaan negeri atau agensi negeri ditempatkan di bawah KPLB Sabah untuk memberi peluang kepada kita melipatgandakan usaha dalam mensejahterakan luar bandar termasuklah membasmi kemiskinan.

“Kita akan mengadakan perbincangan bersama Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai semua perkara ini. Saya yakin beliau akan mempertimbangkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong, Jamawi Jaafar pada sesi soal jawab persidangan dewan undangan negeri sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sabah ke 15, dekat sini, hari ini.

Jamawi bertanya samaada KPLB Sabah bercadang untuk mewujudkan sebuah agensi di bawah kementerian itu supaya semua peruntukan dibawah KPLB Persekutuan dapat disalurkan kepada KPLB Sabah bagi merancakkan lagi pembangunan luar bandar Sabah.

Dalam pada itu, Ewon menyatakan pihaknya juga mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa antara KPLB Sabah dan Datuk Rina Harun selaku Menteri KPLB Persekutuan selain antara pegawai-pegawai kanan kita untuk melihat mekanisma yang boleh dilaksanakan untuk memperkasakan pelaksanaan projek-projek kecil luar bandar yang diperuntukkan oleh KPLB Persekutuan.

Beliau turut menjawab soalan tambahan Adun Tanjong Batu, Datuk Hamisa Samat mengenai peruntukan jalan pelancongan luar bandar, Ewon berkata Kabinet Negeri ketika ini sudah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Kabinet mengenai pembangunan luar bandar Sabah.

“Antara yang dibincangkan dalam mesyuarat pertama termasuklah isu keperluan untuk menaiktaraf jalan menuju ke pusat perusahaan atau pelancongan luar bandar.

“Kita yakin selepas memperoleh data-data berkaitan daripada pejabat daerah maka jawatankuasa kabinet ini akan mengemukakan kepada kerajaan untuk keputusan seterusnya,” katanya.

Sementara itu, Ewon ketika menjawab soalan asal Hamisa berkaitan samaada kerajaan bercadang untuk menaikkan jumlah peruntukan Adun pada tahun ini, beliau berkata cadangan itu sudah dibincangkan diperingkat kementeriannya sebagai input kepada penyediaan Belanjawan Negeri akan datang.

“Saya secara peribadi bersetuju dengan keperluan dan cadangan menaikkan jumlah peruntukan Adun ini dan ia juga telah kami bincangakan pada peringkat kementerian.

“Saya seterusnya akan mengangkat syor ini kepada Ketua Menteri Sabah selaku Menteri Kewangan. Kita yakin beliau akan mempertimbangkan kenaikan peruntukan Adun ini berdasarkan kepada kedudukan semasa kewangan kerajaan negeri,” katanya. –SabahNews Today