Pilih Bahasa

Calon Bebas juga punya peluang menang

KUALA PENYU: Bekas Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kuala Penyu, Mohd Fadzlee Lee Abdullah yang tampil sebagai calon Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Penyu sedia memberikan saingan sihat kepada lawannya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kali ini.

Walaupun mengambil pendirian mengejut untuk bertanding selaku calon bebas pada saat akhir sebelum hari penamaan calon, beliau akan berusaha menyumbang khidmat kepada rakyat Kuala Penyu sekiranya dipilih sebagai wakil rakyat.

Mohd Fadzlee (kiri) beramah mesra dengan peniaga di tamu pekan Kuala Penyu dalam program walk about. – Gambar SNT/Ihsan JAW

Bekas Ketua Umno Bahagian Beaufort itu menggunakan lambang buku pada kempennya kerana bagi beliau dengan menggunakan buku, ia seperti membolehkannya mencatat masalah yang masih dihadapi rakyat di kawasan berkenaan.

Katanya beliau menyahut cabaran ramai rakyat di Kuala Penyu yang mahukan beliau bertanding dalam pilihan raya negeri kali ini.

“Selepas DUN dibubarkan, ia sebenarnya membuka peluang kepada pemimpin politik untuk bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan termasuk menjadi calon apabila diperlukan berbuat demikian oleh rakyat.

“Saya tidak terkecuali namun ia perlu difikirkan secara mendalam di samping melihat aspirasi dan kehendak daripada rakyat,” katanya ketika selepas melakukan program ziarah kepada beberapa buah penduduk di sekitar Kuala Penyu di sini, semalam.

Menurut beliau, pihaknya menyedari bahawa sokongan rakyat memberi semangat tinggi kepadanya untuk memutuskan beliau bertanding.

“Ada yang menangis mahukan saya supaya bertanding. Ini menguatkan semangat saya. Terima kasih kepada semua mereka dan saya sangat menghargai sokongan mereka.

“Saya akan meneruskan program serupa dan mengadakan beberapa siri perjumpaan dan ceramah di lokasi tretentu dalam skala yang dibenarkan dan mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Fadzlee memberitahu, sekalipun ini pengalaman kali pertama namun ia memberi kepuasan dan permulaan untuknya dapat berkhidmat kepada rakyat di Kuala Penyu.

Kerusi DUN Kuala Penyu berkenaan pernah dimenangi Bebas dalam pilihan raya negeri pada 2004. – SabahNewsToday

-ends