Pilih Bahasa

Calon temuduga konstabel positif dadah jenis ganja

Oleh Nasrawati Syarifuddin

TAWAU: Hasrat seorang lelaki menjadi anggota polis tinggal kenangan selepas didapati positif dadah jenis ganja.

Suspek berusia 21 tahun itu ditahan selepas ujian air kencing terhadapnya didapati positif semasa sesi temuduga konstabel di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, pukul 3.30 petang tadi.

Peter Umbuas. Gambar Fail SNT

Hasil siasatan awal mendapati suspek terbabit dalam penyalahgunaan dadah sejak tahun lalu.

Suspek turut mengaku menghisap ganja lima kali seminggu dan mendapat bekalan terbabit daripada seorang pengedar di Kota Kinabalu dengan harga RM50 sepeket.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Ujian saringan air kencing adalah prosedur yang perlu dilalui setiap calon temuduga polis.

“Selepas ujian air kencing dilakukan terhadap suspek, pegawai polis yang bertugas mendapati calon terbabit positif dadah jenis ganja,” katanya, hari ini.

Suspek akan dipohon direman esok untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983. – SabahNewsToday