Pilih Bahasa

Cari jalan penyelesaian terbaik penduduk enggan pindah

TAWAU, 8 Feb (Bernama) — Kerajaan negeri akan mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung keengganan penduduk di 56 rumah Kampung Bukit Kukusan di Tawau berpindah selepas dikhuatiri batu bongkah seberat 2,000 tan metrik jatuh dari lereng bukit dan menimpa rumah pada bila-bila masa.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata penyelesaian itu perlu termasuk mengambil kira keselesaan penduduk berkenaan.

Bongkah batu di lereng bukit di Kampung Bukit Kukusan. Gambar Bernama

“Keselamatan perlu diutamakan, tidak ada ertinya penduduk tidak mahu pindah kalau kawasan itu tidak selamat.

“Kerajaan sanggup melihat lokasi yang sesuai untuk membolehkan mereka ditempatkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina bersama komuniti Cina di sini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas keengganan penduduk berpindah walaupun notis sebulan mengosongkan rumah dan roboh sudah dikeluarkan Jabatan Perhutanan Sabah, selain menolak saranan Pembantu Menteri Kewangan Sabah merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri Merotai Sarifuddin Hata agar pindah ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Merotai kerana bimbang keselamatan penduduk.

Dalam pada itu,Mohd Shafie meminta agar Sarifuddin dapat menangani perkara tersebut dengan baik.

Mohd Shafie turut berharap dan berdoa supaya tiada kejadian yang tidak baik berlaku di kawasan terbabit.

Sebelum ini notis pengosongan terpaksa dikeluarkan Jabatan Perhutanan Sabah kepada 56 rumah atas sebab keselamatan kerana rumah tersebut terletak dalam zon merah selepas Jabatan Mineral dan Geosains melaporkan terdapat gegaran gempa setiap hari di bukit berkenaan.

Perkampungan Kampung Kukusan tersebut terletak di kawasan Hutan Simpan Kelas 2, Jabatan Perhutanan Sabah.

— BERNAMA