Pilih Bahasa

Cemburu punya pasal, isteri ditikam hingga mati

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Perasaan cemburu seorang lelaki terhadap isterinya yang mempunyai hubungan sulit menjadi punca wanita itu ditikam hingga mati dalam kejadian di sebuah rumah kongsi sebuah kilang pemprosesan makanan di Likas, di sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata suspek yang bekerja sebagai buruh binaan itu berjaya diberkas polis selepas menerima maklumat orang awam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji pada sidang media di IPD Kota Kinabalu. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Hasil siasatan mendapati punca wanita berumur 61 tahun itu ditikam suaminya sebanyak dua kali di bahagian belakang badan.

“Berdasarkan keterangan awal suami mangsa, beliau bertindak luar kawalan sehingga menikam mangsa selepas dia percaya bahawa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Menurut Habibi, suspek juga didapati cedera di bahagian leher selepas cuba menikam dirinya sendiri menggunakan pisau yang digunakan, namun pihak polis berjaya mengawal keadaan dan merampas senjata tajam yang digunakan itu.

“Suspek kemudian dihantar ke hospital untuk menerima rawatan dan kini pihak sudah menahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, berlaku pertengkaran antara mangsa yang maut, Ayang Hamjani, dengan suaminya di rumah kongsi berkenaan.

Mangsa yang parah kemudian dikejarkan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) Likas, namun dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan. -SabahNewsToday