Pilih Bahasa

Centre Point Sabah kini dibuka, pematuhan SOP diutamakan

Oleh Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Pusat beli belah terkenal, Centre Point Sabah (CPS), kini dibuka selepas pengumuman kebenaran pengoperasian semula sektor perniagaan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Sabtu lalu.

Timbalan Pengurus Besar Centre Point Sabah, Megan Liu, berkata CPS kembali memulakan perniagaannya pada Ahad dan waktu perniagaan adalah dari jam 10 pagi hingga 9.30 malam.

Pengawal keselamatan melakukan pemeriksaan suhu badan pengunjung yang masuk kedalam Centre Point Sabah. Cecair pembasmi kuman turut disediakan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Namun, beberapa premis perniagaan masih tidak dibenarkan beroperasi. Antaranya termasuk kedai gunting rambut, pusat reflexsologi, pawagam, pusat karaoke, dan pusat boling.

“Bagi setiap kedai yang beroperasi, pihak pengurusan CPS akan memastikan pengusaha kedai untuk terus melakukan pemeriksaan suhu untuk pekerja serta pengunjung dan mengutamakan kebersihan di premis masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemeriksaan suhu badan dan penggunaan cecair pembasmi kuman serta pematuhan penjarakan sosial dapat dilihat disalah sebuah premis dalam Centre Point Sabah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Tambah Megan, pihak CPS juga patuh pada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan melakukan penjarakan sosial di tempat duduk awam di medan selera dan pihaknya akan sentiasa memantau dan mengawasi premis perniagaan agar mematuhi SOP yang betul.

“Selain itu, kita juga telah menempatkan pengawal keselamatan di setiap pintu masuk yang ditetapkan untuk menjalankan pemeriksaan suhu badan pengunjung sebelum memasuki pusat beli belah ini.

Dua orang kakitangan CPS yang menjalankan pemeriksaan suhu badan pemandu dan penumpang sebelum naik di laluan masuk parkir Centre Point Sabah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Pengawal keselamatan ini juga bertanggungjawab untuk memastikan penggunaan topeng muka dan hidung oleh setiap pengunjung dan penggunaan cecari pembasmi kuman,” katanya.

Seorang pengunjung, Nur Syahierah Mat Sapauwi, 23, berkata pemeriksaan suhu badan sebelum masuk kedalam pusat beli belah ini merupakan salah satu usaha bersama pihak pengurusan Centre Point dengan kerajaan untuk mencegah penularan wabak Covid-19.

Pengunjung Nur Syahierah Mat Sapauwi, 23, semasa melalui imbasan suhu badan sebelum masuk ke parkir pusat beli belah Centre Point Sabah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Seperti saya, pemeriksaan suhu badan dibuat di laluan masuk parkir dalam pusat beli belah ini. Ini merupakan norma baharu dalam kehidupan saya.

“Penggunaan lif dalam pusat beli belah ini juga mempraktikkan penjarakan sosial apabila pihak CPS menyediakan tanda petak yang hanya membenarkan empat orang sahaja untuk menggunakan lif dalam satu masa,” katanya.

Penjarakan sosial dalam sebuah lif di Centre Point Sabah. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Namun bagi Artis Budaya di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Sabah ini, masih terdapat segelintir pengunjung yang tidak mematuhi saraan kerajaan dalam pelaksanaan penjarakan sosial ini.

“Mereka ini tidak seharusnya mementingkan diri sendiri. Sikap seperti ini harus dikikis oleh setiap diantara kita bagi membendung penularan pendamik ini di negara kita sendiri,” ujarnya. -SabahNewsToday