Pilih Bahasa

CEROBOH KAWASAN NELAYAN TRADISIONAL, JURAGAN DAN ANAK KAPAL DITAHAN

Oleh Mohd Nazllie Zainul

SANDAKAN:  Sebanyak 30 kilogram hasil laut bernilai RM25,000 dirampas Pasukan Polis Marin Daerah ini dalam Ops Pensura Khas, pagi kelmarin.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata rampasan berkenaan dilaksanakan kira-kira jam 7 pagi selepas pemeriksaan ke atas sebuah bot nelayan yang dikesan menjalankan aktiviti menunda ikan.

Pasukan Polis Marin Sandakan merampas sebuah bot nelayan berikutan melakukan aktiviti pukat tunda kurang lima batu nautika daripada pantai berhampiran Sungai Seguntor, Sandakan, kelmarin. Gambar SNT/ Ihsan Pasukan Polis Marin Sandakan

Mohamad Pajeri berkata bot terbabit melakukan aktiviti berkenaan dalam kawasan kurang lima batu nautika daripada pantai berhampiran Sungai Seguntor.

“Seorang juragan dan anak kapal tempatan berumur lingkungan 30an ditahan bersama sebuah bot pukat tunda ketika mereka leka menjalankan aktiviti menunda.

“Aktiviti ini jelas menyalahi undang-undang kerana penangkapan seumpama ini memang tidak dibenarkan.

Juragan dan anak kapalnya ditahan menjalankan aktiviti pukat tunda di kawasan di bawah lima nautika dari pantai. Gambar SNT/Ihsan Ihsan Pasukan Polis Marin Sandakan

“Pemeriksaan turut menemukan hasil tangkapan laut seperti ikan dan udang yang dianggarkan 30 kilogram,” katanya.

Beliau berkata semua tangkapan dan rampasan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Perikanan 1985.-SabahNews Today