Pilih Bahasa

Chan dakwa Sabah dianaktirikan K’jaan Persekutuan PN dalam isu tuntutan Cukai Jualan Petroleum

Oleh Sabah News Today

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen DAP Kota Kinabalu Chan Foong Hin mendakwa Kerajaan Persekutuan Perikatan Nasional (PN) menunjukkan sifat pilih kasih di antara negeri Sarawak dan Sabah dalam isu tuntutan cukai jualan negeri bagi hasil petroleum.

“Umum diketahui keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa kerajaan Sarawak adalah berhak mengutip cukai jualan bagi produk petroleum.

“Petronas yang tidak berpuas hati terhadap keputusan ini telahpun membuat rayuan. Namun demikian, pada 3 Ogos, 2020, Petronas telahpun menarikbalik rayuan tersebut,” kata Chan.

Chan Foong Hin semasa mencelah untuk penjelasan daripada Timbalan Menteri Hal-Ehwal Sabah dan Sarawak semasa penggulungan perbahasan menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat hari ini. Gambar Fail SNT

Chan yang juga merupakan Setiausaha DAP Sabah seterusnya menyatakan bahawa dengan penarikan balik rayuan itu bermakna keputusan Mahkamah Tinggi iaitu bahawa kerajaan negeri mempunyai hak untuk mengutip cukai jualan negeri bagi produk petroleum kekal.

Beliau turut menegaskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi ini yang tidak lagi dicabar oleh Petronas juga boleh digunapakai oleh kerajaan negeri Sabah.

“Oleh yang demikian, Petronas yang memperolehi hasil petroleum daripada negeri Sabah adalah diperlukan di bawah undang-undang dan Perlembagaan Malaysia untuk membayar cukai jualan negeri bagi produk petroleum tersebut,” jelas Chan.

Chan menyatakan bahawa setahu beliau, kerajaan negeri Sabah telahpun membuat tuntutan bayaran cukai jualan hasil petroleum terhadap Petronas.

“Saya juga difahamkan bahawa semua syarikat minyak lain sudah bayar cukai jualan negeri bagi hasil petroleum tersebut dan hanya tinggal syarikat milik kerajaan persekutuan, iaitu Petronas sahaja yang enggan membuat bayaran cukai tersebut,” kata Chan.

Chan mempersoalkan tindakan kerajaan persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang boleh mengadakan perundingan dengan kerajaan negeri Sarawak berkenaan pembayaran cukai jualan negeri bagi hasil petroleum tersebut tetapi pula tidak melakukan perkara yang sama dengan kerajaan negeri Sabah.

“Tadi saya sempat mencelah semasa Timbalan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Hanifah Hajar Taib menggulung bagi perbahasan menjunjung kasih titah diraja Yang Di-pertuan Agong dan bertanya kenapa jawatankuasa rundingan dengan kerajaan Sarawak berkenaan ‘Sales Tax’ minyak dan 20 peratus royalti minyak hanya diadakan untuk Sarawak. Mana pula untuk Sabah?” kata Chan.

Chan membuat kesimpulan bahawa kerajaan persekutuan PN ini bersifat pilih kasih kerana kerajaan negeri Sabah yang dipimpin Parti Warisan Sabah (sekarang kerajaan negeri caretaker) tidak sehaluan dengan Perikatan Nasional.

“Saya ingatkan Timbalan Menteri dari Sarawak sepatutnya faham betapa seksanya kerajaan negeri apabila kerajaan persekutuan tidak membayar cukai jualan hasil petroleum.

“Tetapi apabila saya bersoal, dia pun tiada pendirian dan semua hanya menurut perintah. Inilah kualiti ahli eksekutif Perikatan Nasional, semuanya pun Pak Turut sahaja dan tidak boleh diharapkan,” kata Chan.-SabahNewsToday