Pilih Bahasa

China pertahan kejuaraan Piala Yang Dipertua Negeri di Perlumbaan Perahu Naga FCAS 2019

Oleh Alfred Petrus

Pasukan Guangdong Yingao Shunde Xingtan Dragonboat dengan kemenangan kali kedua berturut-turut sejak 2018. – Gambar SNT/Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Kumpulan Guangdong Yingao Shunde Xingtan Dragonboat berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali kedua dalam kategori utama Perlumbaan Perahu Naga Antarabangsa Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) Keenam yang diadakan di Teluk Likas, hari ini.

Walaupun dalam keadaan hujan lebat dan ombak bergelora, pasukan dari China itu berjaya memecahkan rekod terdahulu dengan cacatan masa tiga minit 41 saat  berbanding 3: 55 saat pada 2018.

Pasukan China yang buat kali ketiganya menyertai dalam kategori Piala Yang Dipertua Negeri Sabah (800 meter Lelaki Malaysia dan Antarabangsa) membawa pulang hadiah RM10,000 dan medal selepas menewaskan enam pasukan pencabar lain pada pusingan akhir berkenaan.

Pasukan dari Kampung Giling Laut Tuaran yang menjuarai Piala Ketua Menteri. – Gambar SNT/Alfred Petrus

Naib johan dan tempat ketiga bagi kategori sama dimenangi oleh Seri Pahlawan Muara Dragon Boat Team dan PTB Kayak Dragon Boat Team yang masing-masing membawa pulang hadiah RM5,000 dan RM2,500 berserta medal kepada setiap pemenang.

Bagi kategori Piala Ketua Menteri (800 meter Pasukan Lelaki Malaysia), Kampung Giling Laut Tuaran dinobatkan sebagai johan dengan membawa pulang hadiah RM8,000 dan medal.

Melalui kemenangan itu juga, Kampung Giling Laut Tuaran berjaya mengalahkan johan kategori terbabit pada 2018 iaitu kumpulan Landas Sarawak.

Juhar (tiga kiri) memalu gong sebanyak tiga kali sebagai gimik perasmian pertandingan itu sambil disaksikan oleh Christina (dua kanan). – Gambar SNT/Alfred Petrus

Kumpulan Sibling’s serta Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kota Kinabalu (KKCCCI) pula berjaya mendapat naib johan dan tempat ketiga dengan hadiah kemenangan RM4,000 dan RM2,000 berserta medal.

Seterusnya, Piala Perahu Naga FCAS Sabah (800 meter Pasukan Malaysia dan Antarabangsa Campuran), sekali lagi Guangdong Yingao Shunde Xingtan Dragonboat berjaya mempertahankan kemenangan mereka pada tahun sebelumnya dan memperbaharui rekod perlumbaan mereka.

Pada 2018, pasukan China tersebut menamatkan perlumbaan dalam masa 4:31s dan memperkemaskan rekod berkenaan dengan 3: 39s pada tahun ini.

Guangdong Yingao Shunde Xingtan Dragonboat turut membawa pulang hadiah RM8,000 dan medal.

Liang (tiga kiri) menyampaikan replika cek sumbangan penganjuran perahu naga kepada TC Goh pada acara berkenaan. – Gambar SNT/Alfred Petrus

Dalam kategori itu juga, naib johan 2018 iaitu Lela Cheteria Brunei Darussalam mengikut jejak pasukan China mempertahankan kemenangan dan memperbaharui rekod tersendiri iaitu 4: 61s kepada 3: 47s minit tahun ini.

Lela Cheteria Brunei Darussalam dan Bomba Pilipinas Dragon Boat yang mendapat tempat ketiga masing-masing membawa pulang hadiah RM4,000 dan RM2,000 berserta medal bagi setiap peserta.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Presiden FCAS Tan Sri TC Goh manakala Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin berkesempatan merasmikan pertandingan berkenaan.

Turut hadir isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Norlidah R M Jasni dan Timbalan Ketua Meneri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.

Sementara itu Konsul China di Kota Kinabalu Liang Caide turut menyampaikan sumbangan sejumlah RM50,000 kepada FCAS sebagai tanda sokongan acara kebudayaan Cina tersebut. – SabahNewsToday