Pilih Bahasa

Christina gesa ahli parti tidak membuat kesimpulan awal terhadap video seks sejenis melibatkan Timbalan Presiden parti

Oleh Alfred Petrus

KOTA KINABALU: Ahli Parti PKR Sabah digesa untuk tidak membuat kesimpulan awal terhadap video seks sejenis yang dikatakan melibatkan Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali yang tular baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Christina Liew meminta agar ahli-ahli parti berkenaan bertenang dan memberikan laluan kepada pihak polis untuk menyiasat kebenaran dalam kes berkenaan.

Christina Liew – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Secara peribadinya, saya tidak percaya dengan kemajuan teknologi masa kini yang mana sesiapa sahaja boleh melakukannya.

“Seseorang yang dianggap bersalah tidak akan bersalah selagi tidak pembuktian kukuh dan kes ini telah diserahkan kepada pihak polis. Jadi biar mereka jalankan tugas mereka.

“Kita seharusnya melakukan dua benda pada ketika ini iaitu kita tidak sepatutnya menularkan klip video berkenaan dan hentikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sidang akhbar penganjuran Sabah Fest 2019 di Wisma Tun Fuad, hari ini.

Tegasnya seseorang itu bersalah sehingga dibuktikan bersalah dan beliau (Azmin) tidak bersalah dalam kes berkenaan.

Christina juga percaya dalam kes berkenaan terdapat pihak tertentu untuk menjatuhkan Timbalan Presiden PKR itu.

“Namun, semua ini bukan kerja orang dalam,” jelasnya.

Terdahulu, sekumpulan wartawan di semenanjung dijemput menyertai dua kumpulan WhatsApp dinamakan “Jemputan Hari Raya ###” di mana klip video sex sejenis tersebut dikongsikan sejak 11 Jun, pagi.

Tiga klip video berdurasi kira-kira 90 saat itu memaparkan dua lelaki berada di atas katil dalam keadaan bogel, melakukan beberapa aksi seksual dengan salah seorang daripadanya kelihatan seperti menyerupai Azmin.

Namun, Azmin menafikan sekeras-kerasnya bahawa dia adalah orang yang dirakam melakukan hubungan sejenis di bilik hotel tersebut. -SabahNewsToday