Pilih Bahasa

Christina terbuka jalin kerjasama dengan Jeffrey majukan sektor pelancongan Sabah

Bernama

KOTA KINABALU, 10 Mac — Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew berkata pihaknya bersikap terbuka untuk menjalin kerjasama dengan Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Dr Jeffrey Kitingan dalam memajukan sektor pelancongan di negeri ini.

Beliau berkata keterbukaan itu adalah selaras dengan pendirian kerajaan negeri yang diumumkan sebelum ini untuk menjalin kerjasama berasaskan konsep “kerajaan kepada kerajaan” dengan kerajaan persekutuan.

“Jika Jeffrey menyatakan untuk bekerjasama, saya juga berpendirian sama untuk manfaat sektor pelancongan di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sumbangan Tabung Wuhan China berjumlah RM2 juta kepada Konsul China di Kota Kinabalu Liang Caide, hari ini.

Inisiatif untuk kutipan tabung itu adalah anjuran kerajaan negeri dan Gabungan Persatuan Cina Sabah sebagai tanda prihatin terhadap negara tersebut yang kini berdepan penularan wabak COVID-19.

Jeffrey dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dalam Kabinet Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Chrisitina berkata jalinan kerjasama pihaknya dengan kementerian pelancongan persekutuan penting untuk sektor itu di Sabah, khususnya ketika berdepan penularan COVID-19.

— BERNAMA