Pilih Bahasa

Christina ucap terima kasih dilantik semula terajui PKR Sabah

KOTA KINABALU, 14 Dis (Bernama) — Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Christina Liew mengucapkan ribuan terima kasih kepada pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana memberi kepercayaan seterusnya melantik semula beliau sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

Liew dalam kenyataannya hari ini berkata dengan pelantikan itu, beliau sedaya upaya akan bekerjasama rapat dengan ketua-ketua cabang dan pimpinan PKR Sabah dalam mengemudi PKR negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew. Gambar SNT/Datu Ruslan Sulai.

“Saya akan memanggil satu mesyuarat untuk perbincangan MPN Sabah (mengenai) barisan kepimpinan dan bagaimana untuk kita bergerak sebagai satu pasukan yang mantap,” katanya.

Menurutnya, episod pemilihan parti sudah berlalu dan semua kepimpinan serta anggota parti perlu fokus kepada agenda pembangunan dan pemerkasaan parti.

Semalam, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan senarai beberapa pengerusi MPN termasuk Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak yang dilantik menerajui PKR Perak, Aminuddin Harun (Negeri Sembilan), Datuk Johari Abdul (Kedah), Zahir Hassan (Wilayah Persekutuan), Halim Bachik (Melaka) dan Christina Liew (Sabah).

— BERNAMA