Pilih Bahasa

CIDB KELUAR 18 NOTIS KEPADA KONTRAKTOR PROJEK PEMBINAAN DI TANJUNG ARU

Oleh Alfred Petrus

Penguatkuasa CIDB menjalankan proses dokumentasi kepada 82 orang pekerja buruh semasa operasi dijalankan di Tanjung Aru. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

KOTA KINABALU: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Sabah mengeluarkan 18 notis terhadap kontraktor di tapak projek pembinaan di Tanjung Aru dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu (OPB) CIDB dengan kerjasama lapan agensi penguatkuasa di negeri ini.

Pengarah CIDB Sabah, Rosmen Hassan berkata notis tersebut dikeluarkan berdasarkan Akta 520 CIDB bagi mana-mana kontraktor utama dan sub kontraktor yang didapati menjalankan kerja lebih gred.

Jelasnya lima skop penguatkuasaan pada OPB pada operasi tersebut seperti penguatkuasaan di dalam Akta 520 berkaitan Pendaftaran Kontraktor (seksyen 25), Kewajipan Kontraktor (Seksyen34B(1)), Pembayaran Levi (Seksyen 34), Personel Binaan (Seksyen 33), Akreditasi (Seksyen 33A(1)) dan Bahan Binaan (Seksyen 33D(1)).

Penguatkuasa CIDB memeriksa pekerja buruh semasa operasi yang dijalankan di Tanjung Aru. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Hasil daripada pemeriksaan tapak pada hari ini CIDB telah memeriksa satu kontraktor utama dan tujuh sub kontraktor dan didapati satu daripada sub kontraktor tersebut menjalankan kerja lebih gred dan empat kontraktor akan dipanggil untuk sisatan lanjut. 

“CIDB turut memeriksa seramai 82 pekerja yang mana bilangan pekerja tempatan adalah seramai lapan orang dan selebihnya adalah pekerja asing. Bilangan pekerja berdaftar sebagai personel binaan seramai lapan orang dan tidak berdaftar seramai 74 orang.

“Dalam pada itu, sebanyak 18 notis dikeluarkan CIDB kepada kontraktor dan personel binaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menjalankan Operasi Penguatkuasaan Bersepadu Antara Jabatan 2019 anjuran CIDB Sabah, di sini hari ini.

Pemeriksaan dilakukan oleh penguatkuasa CIDB ke atas pekerja buruh binaan dalam operasi bersama beberapa agensi penguatkuasa lain di Tanjung Aru. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Jelasnya seramai 82 orang pekerja yang diperiksa termasuk lapan warga tempatan, lima penduduk tetap, seorang penduduk sementara, 17 pemegang IMM 13; 12 warga Filipina dan 39 pekerja dari China.

Katanya dalam operasi itu juga DBKK turut mengeluarkan sebanyak tiga kompaun, diikuti JKKP (lima notis), JTK (10 notis), JKNS (satu notis dan satu kompaun), ST (satu notis) manakala JIM membuat lapan penahanan pekerja binaan.

Tambahnya lapan penahanan yang dibuat oleh Imigresen adalah disebabkan masalah dari segi dokumen yang mana disyaki telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1999 (Pindaan 2002) iaitu tidak memiliki pas untuk memasuki Malaysia.

Antara buruh binaan yang ditahan Jabatan Imigresen Malaysia setelah gagal menunjukkan dokumen pengenalan diri yang sah semasa operasi dijalankan di sebuah tapak pembinaan di Tanjung Aru. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Ada tahanan yang tidak dapat menunjukkan dokumen diri. Oleh itu, mereka perlu membuat pengesahan dokumen terlebih dahulu. Akibatknya tujuh warga Filipina dan seorang warga China telah ditahan,” katanya.

Sementara itu, Rosmen berkata tujuan utama OPB diadakan adalah memberi kesedaran dan mendidik semua  pemain industri pembinaan agar mematuhi keperluan perundangan dan prosedur operasi standard (SOP) di tapak bina terutamanya di bawah Akta 520 CIDB dan akta-akta lain yang berkaitan. 

Di samping itu juga, tambahnya CIDB di bawah program Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) bertujuan memastikan semua kerja-kerja pembinaan ‘Ke Arah Meningkatkan Kualiti Dan Keselamatan Dalam Pembinaan’ di tapak bina dapat dicapai sepenuhnya terutamanya di Sabah.

“Oleh itu, CIDB Sabah berharap pemain industri dapat mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan berdasarkan Akta 520 CIDB. CIDB tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sekiranya didapati gagal mematuhi akta tersebut.

“Kami juga berharap agar pemain industri boleh melaksanakan pematuhan akta secara pengawal seliaan sendiri,” jelasnya. -SabahNewsToday