Pilih Bahasa

CIQ PERLU DIWUJUDKAN DI PAGALUNGAN – EWON

Ewon bergambar kenangan dengan anggota keselamatan negara yang bertugas di perbatasan Sabah-Kalimantan di Pagalungan. Gambar SNT/Ehsan KPLB

PAGALUNGAN (Sabah), 3 Dis (Bernama) — Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) perlu diwujudkan di kawasan Pagalungan bagi menggalakkan aktiviti ekonomi antara daerah itu dengan wilayah-wilayah di negara jiran Indonesia, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah Datuk Ewon Benedict.

Pondok Polis Pagalungan. Gambar SNT/Ehsan KPLB

Beliau berkata CIQ di kawasan itu penting terutamanya Sungai Lohongon sebagai laluan perdagangan antara Sabah dan Kalimantan, Indonesia.

“Di Pagalungan, laluan utamanya masih menggunakan sungai yang melibatkan pergerakan manusia di antara Sabah (Malaysia) dan Kalimantan (Indonesia). Masyarakat di kedua-dua negara ini saling memerlukan sungai itu (Lohongon).

“Jadi, ia satu laluan perdagangan yang sangat mustahak sekali,” katanya kepada Bernama di sini.

Ewon menunjukkan papan tanda pemberitahuan bahawa orang ramai harus melalui pusat imigresen di sini. Gambar SNT/Ehsan KPLB

Ewon berkata disebabkan ketiadaan jalan darat, penduduk Sabah di Pagalungan dan rakyat Indonesia di kawasan sempadan amat bergantung kepada sungai sebagai laluan untuk  mendapatkan bekalan bahan mentah, barang keperluan harian serta kelengkapan lain.

Bot adalah pengangkutan utama di Sungai Lohongon di perbatasan Malaysia – Indonesia berhampiran Pagalungan. Gambar SNT/Ehsan KPLB

Ewon berkata Sungai Lohongon, selain berperanan utama sebagai laluan perdagangan, ia juga berpotensi dikomersilkan melalui aktiviti sukan berasaskan sungai seperti yang dilaksanakan di Kadamaian, Kota Belud.

“Rakyat di Kadamaian telah mengoptimumkan penggunaan sungai  untuk pelbagai aktiviti komersil bagi memberikan pendapatan kepada penduduk setempat,” katanya.

Sepanjang berada di daerah perbatasan Sabah–Kalimantan itu, Ewon meluluskan peruntukan untuk pembaikan dan penyelanggaraan Balai Budaya Kampung Inakak, projek bekalan air graviti Kampung Kakutar dan Kampung Salinatan, yang masing-masing sebanyak RM50,000.

Beliau turut menyerahkan peruntukan khas sebanyak RM7,000 bagi pengurusan Balai Budaya Kampung Pagalungan.

–BERNAMA