Pilih Bahasa

Covid-19: 15 kes positif setakat 13 Mac di Sabah; tiada Kaamatan tahun ini

Oleh Chris Maskilone

KOTA KINABALU: Jumlah kes positif Covid-19 di Sabah setakat 13 Mac adalah 15 membabitkan 14 rakyat Malaysia dan satu warga Indonesia.

Maklumat daripada Jabatan Kesihatan menyatakan bagi tahun 2020, kes itu dikesan daripada ujian terhadap 380 sampel pesakit disyaki (PUI).

Sampel yang lain negatif.

Dalam pada itu, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) turut mengumumkan bahawa perayaan Pesta Kaamatan sepanjang bulan Mei tidak akan diadakan pada tahun ini.

Menurut Setiausaha Agung KDCA, Suman Yasambun pada mulanya KDCA telah mengumumkan akan meneruskan perayaan Kaamatan ini namun menukar keputusan apabila Covid-19 kini diistihar sebagai penyakit pandemik.

“Setelah berbincang panjang lebar dengan Huguan Siou merangkap presiden KDCA Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, ahli jawatankuasa pusat KDCA sebulat suara memutuskan untuk tidak meneruskan sambutan Pesta Kaamatan pada tahun ini atas sebab-sebab kesihatan.

“Ia merupakan satu keputusan sukar bagi AJK Pusat KDCA yang mewakili kesemua daerah di Sabah memandangkan acara ini adalah yang amat ditunggu-tunggu setiap tahun,” kata Suman dalam satu kenyataan.

“Kami percaya ketiadaan sambutan Tadau Kaamatan pada tahun ini akan dirasakan bukan sahaja oleh masyarakat Kadazandusun tetapi juga rakyat Malaysia pada keseluruhannya,” ujarnya.

Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony yang merupakan pengerusi penganjur AJK induk Pesta Kaamatan peringkat negeri turut mengesahkan perkara ini.

Beliau menyatakan Pesta Kalimaran yang disambut masyarakat Murut di Pusat Kebudayaan Tenom pada setiap 31 Mac turut dibatalkan pada tahun ini.

Bagi mengelak sebarang kemungkinan penyebaran Covid-19, Uskup Datuk John Wong mengumumkan tiada misa bermula minggu ini sehingga 1 April di Diosis Kota Kinabalu.

Keputusan ini sama dengan keputusan yang dibuat oleh Gereja Katolik di Semenanjung Malaysia.

Bagi solat Jumaat, ianya diteruskan namun dengan beberapa garispanduan seperti memendekkan masa khutbah.-SabahNewsToday