Pilih Bahasa

COVID-19: 39 kes baharu dilaporkan, jumlah kes 197

KUALA LUMPUR, 13 Mac — Sebanyak 39 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kes kumulatif di negara ini meningkat kepada 197, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada kes baharu ini, sebanyak 38 kes dikesan dalam kalangan Pesakit Dalam Siasatan (PUI) jangkitan COVID-19 dan satu kes dari kalangan kontak rapat, dan sebanyak empat kes telah dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan dan dirawat di Unit Rawatan Rapi, serta diberikan rawatan anti-viral.

“Pada gelombang pertama sebanyak 22 kes telah dilaporkan, daripada jumlah ini 12 kes merupakan kes dalam kalangan PUI, 8 daripada kontak rapat, manakala dua kes lagi daripada misi bantuan kemanusiaan yang membawa pulang rakyat Malaysia dari Wilayah Hubei, China.

“Kesemua kes gelombang pertama ini telah sembuh dan dibenarkan pulang,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Bagi gelombang kedua yang dilaporkan ini, sebanyak 52 kes dilaporkan dalam kalangan PUI, manakala kes-kes lain dilaporkan melibatkan dua kluster utama yang telah dikenal pasti, katanya.

Dalam pada itu, KKM telah menjalankan survelan COVID-19, bagi mengesan kes terpencil atau sporadik di Malaysia melalui pesakit serupa influenza (ILI), dan jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) yang tiada kaitan dengan sejarah perjalanan ke negara yang terjejas, atau kontak dengan kes positif COVID-19.

Sehingga kini, katanya, sebanyak 756 sampel telah diuji dan sebanyak tiga sampel dikesan positif jangkitan COVID-19, siasatan yang dijalankan mendapati kes-kes ini dikesan dalam kalangan kluster perhimpunan tabligh, dan orang awam akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

— BERNAMA