Pilih Bahasa

Covid-19: 47 kes positif, 44 kes sembuh, tiada kematian hari ini – KP Kesihatan

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah (Gambar fail)

PUTRAJAYA, 18 Mei — Sebanyak 47 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan di negara ini setakat 12 tengah hari tadi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 29 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara.

“Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia adalah 6,941 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,213 kes,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini. 

Menurutnya, sebanyak 44 kes sembuh dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 5,615 kes iaitu 80.9 peratus daripada keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata tiada kes kematian baharu dilaporkan dalam tempoh 24 jam lepas setakat 12 tengah hari menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal pada 113 kes.

— BERNAMA