Pilih Bahasa

COVID-19: ABIM, NUJ, PoWR lancar tabung khas bekal keperluan wartawan di lapangan

Bernama

KUALA LUMPUR, 21 Mac — Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) dan Projek Wawasan Rakyat (PoWR) hari ini mengambil inisiatif melancarkan Tabung Khas untuk membekalkan keperluan kepada wartawan di lapangan susulan penularan wabak COVID-19.

Dalam kenyataan bersama, projek itu bertujuan mengumpul sumbangan orang ramai bagi menanggung kos barangan seperti penutup hidung dan mulut, cecair pembasmi kuman dan keperluan lain untuk diberikan secara percuma kepada wartawan.

“Projek ini adalah sebagai tanda solidariti rakyat Malaysia untuk bersama-sama menghargai pengorbanan wartawan di lapangan yang berhadapan risiko tidak menentu demi untuk memberikan laporan yang tepat dan pantas kepada seluruh rakyat.

“Dalam kita sama-sama sentiasa prihatin membantu golongan barisan hadapan, perjuangan kelompok wartawan tidak harus dikesampingkan khususnya dalam memastikan mereka sentiasa sihat dan selamat dalam menjalankan amanah,” menurut kenyataan itu.

Sebarang sumbangan boleh disalurkan ke akaun 3077428903 (Public Bank – National Union of Journalists Malaya).

— BERNAMA