Pilih Bahasa

Covid-19: Dua pegawai, tiga anggota polis IPD Ranau dikuarantin

Oleh Junaidi Ladjana

Zaini Jass. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

PENAMPANG: Dua pegawai berpangkat Inspektor dan tiga anggota berpangkat rendah diarahkan dikuarantin di rumah masing-masing selepas berurusan dengan seorang lelaki dijangkiti Covid-19.

Lelaki berusia 40-an itu dikatakan datang ke Balai Polis Ranau baru-baru ini dan dia didapati dijangkiti Covid-19.

Kelima-lima anggota polis yang mempunyai urusan dengan lelaki itu kemudian diarahkan menjalani pemeriksaan di Hospital Ranau, kelmarin.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata selepas dinasihatkan menjalani pemeriksaan di hospital dan mendapati mereka semua negatif daripada wabak Covid-19.

“Selepas menjalani pemeriksaan sepertimana diarahkan oleh doktor, Alhamdulillah semua mereka tidak ada tanda-tanda positif.

“Namun doktor mengarahkan supaya semua mereka menjalani kuarantin di kediaman masing-masing selama 14 hari,” katanya ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan di premis-premis sekitar Penampang, malam tadi.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Zaini (tengah) bersama Mohd Haris ketika melakukan tinjauan di premis sekitar Penampang. – Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Zaini berkata pihaknya mengambil berat soal keselamatan dan kesihatan pegawai dan anggota yang bertugas di lapangan.

Sementara itu, mengulas mengenai pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang turut disertai pasukan tentera hari ini, Zaini berkata semua berjalan dengan lancar di Sabah.

“Seramai 466 anggota tentera terbabit dengan sekatan jalan di 17 daerah di seluruh negeri dalam PKP yang memasuki hari kelima.

“Pematuhan dalam kalangan masyarakat awam dilihat mencapai 95 peratus dan pihaknya dijangka meningkatkan lagi aspek penguatkuasaan SJR di daerah utama seperti Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Tawau,” katanya. – SabahNewsToday