Pilih Bahasa

Covid-19: Dua pusat kuarantin dibuka di Tenom

Oleh Sabah News Today

TENOM: Dua pusat kuarantin telah diwujudkan di daerah ini iaitu di Taman Pertanian Lagud Seberang yang sudah pun mula beroperasi dan sebuah lagi menyusul di Pusat Giat Mara Tenom.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemabong Jamawi Jaafar berkata setakat Rabu seramai 50 orang terdiri dari pelajar dan pekerja yang balik dari semenanjung telah ditempatkan di Pusat Kuarantin Taman Pertanian Lagud Seberang.

Jamawi menunjukkan isyarat bagus apabila meninjau tempat tidur pusat kuarantin di Pusat Giat Mara Tenom.-Gambar SNT/Ihsan Pejabat Dun Kemabong

Menurut beliau Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Tenom telah menetapkan pekerja yang balik daripada Semenanjung Malaysia atau Zon Merah di Sabah serta para pelajar harus menjalani kuarantin 14 hari di pusat ini sebelum mereka dibenarkan balik ke rumah keluarga masing-masing

“Saya telah melawat kedua-dua pusat kuarantin ini dan dengan kelengkapan yang disediakan keadaannya memuaskan, tiada rungutan dari mereka yang menjalani kuarantin di sini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau pusat kuarantin tersebut.

Turut serta Timbalan Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Covid 19 merangkap Penolong Pegawai Daerah Tenom Mas Sazwan, Penolong Pegawai Daerah Kemabong Martinus Lunggeh, Yuesri Ismail Yusof dan PPM Kemabong Burnley Balang.

Jamawi (tiga dari kanan) diberikan taklimat oleh Pengurus Besar Giat Mara Tenom Didie Norhazrilah Latip (kiri) semasa melawat pusat Kuarantin di Pusat Giat Mara Tenom.-Gambar SNT/Ihsan Pejabat Dun Kemabong

Beliau memuji usaha yang dilakukan oleh (PKOB) Tenom yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah menyediakan pusat kuarantin daerah yang teratur bagi membolehkan mereka yang menjalani kuarantin berada dalam keadaan selesa.

Menurut Jamawi yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan walaupun Tenom dan Kemabong masih bebas dari pandemik Covid-19 namun situasi tersebut tidak wajar melalaikan semua pihak justeru langkah berhati-hati dan mematuhi arahan kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan wajar diberikan keutamaan oleh penduduk di kawasan ini .

“Usaha (PKOB) daerah untuk mewajibkan setiap penduduk yang datang dari lain daerah terutamanya dari zon merah, golongan pekerja dan pelajar dari semenanjung menjalani kuaratin sebelum kembali ke rumah masing masing bukan bertujuan membebankan tapi lebih kepada usaha untuk memutuskan rangkaian wabak Covid-19,” katanya.

Sehubungan dengan itu beliau meminta mereka yang terlibat agar memberikan kerjasama sepenuhnya demi kebaikan semua pihak.-SabahNewsToday

Jamawi (tiga dari kanan) menunjukkan isyarat terbaik selepas meninjau pusat kuarantin di Taman Pertanian Lagud Seberang Tenom.-Gambar SNT/Ihsan Pejabat Dun Kemabong