Pilih Bahasa

Covid-19: Jumlah kes baharu 31, pulih 60 dan tiada kematian – KP Kesihatan

PUTRAJAYA, 20 Mei  — Terdapat 31 lagi kes baharu positif COVID-19 yang dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif mencecah 7,009 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,189 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Ingin dimaklumkan daripada 31 kes baharu yang dilaporkan, 10 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, manakala 21 kes adalah penularan tempatan dengan 10 kes adalah bukan warganegara Malaysia,” katanya pada sidang media harian di sini, hari ini.

Sebanyak 60 kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 dan dibenar discaj dari wad direkodkan hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kes pulih daripada wabak itu kini 5,706 kes (81.4 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes.

Dr Noor Hisham berkata bilangan kes pulih adalah hampir dua kali ganda bilangan kes baharu yang dilaporkan.

Tiada kes kematian berkaitan COVID-19, menjadikan kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal 114 kes atau 1.63 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

— BERNAMA