Pilih Bahasa

COVID-19: Operasi disinfeksi besar-besaran dilaksanakan pertengahan April

Oleh Rohana Nasrah

KOTA KINABALU, 1 April — Operasi disinfeksi secara besar-besaran di sekitar kawasan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bagi memerangi wabak COVID-19 dijadual dilaksanakan pada pertengahan April ini, kata Pengarah  Jabatan Landskap DBKK Robert Lipon.

Robert bagaimanapun berkata sejak 18 Mac lalu DBKK telah melaksanakan operasi disinfeksi secara terfokus di lebih 50 lokasi termasuk Pasar Besar dan Pasar Ikan Kota Kinabalu, Pasar Tanjung Aru, Pasar Sembulan, Pasar Manggatal, Pasar Inanam, pasar terbuka, bangunan DBKK serta kawasan kes positif yang dikesan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah.

“Pada masa depan, kami merancang untuk melaksanakan operasi penyahjangkitan secara besar-besaran terutamanya di jalan-jalan utama dengan bantuan agensi seperti bomba kerana kami perlukan trak bomba untuk buat disinfeksi di kawasan besar.

“Buat masa ini, antara kekurangan dihadapi yang mungkin perlu bantuan daripada pihak awam dan swasta berkemampuan ialah bekalan bahan kimia untuk buat disinfeksi besar-besaran…kami amat mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang sudi membantu membekalkan bahan itu dan peralatan perlindungan peribadi (PPE),” katanya kepada Bernama.

Robert yang juga Ketua Pasukan Disinfeksi COVID-19 DBKK berkata butir-butir lengkap mengenai pelaksanaan operasi disinfeksi besar-besaran itu termasuk berkaitan kos operasi sedang dibincangkan dengan pihak yang berkenaan.

Mengenai operasi disinfeksi yang dilaksanakan setakat ini, Robert berkata operasi itu dianggotai 55 anggota melibatkan kos kira-kira RM50,000.

Katanya anggota DBKK yang menjalankan operasi penyahjangkitan di kawasan yang ada kes positif COVID-19 akan dibekalkan dengan peralatan PPE serta mematuhi prosedur operasi standard demi keselamatan dan kesihatan mereka.

“DBKK berharap penduduk mematuhi peraturan ditetapkan di semua pasar awam seperti masa operasi, cara pembayaran dan kawalan masuk ke pasar supaya mereka boleh terus mengamalkan jarakan sosial sebagai langkah membendung penularan jangkitan wabak,” katanya.

— BERNAMA