Pilih Bahasa

Covid-19 : PAS gerakkan misi ‘Love For Fighter’ bantu barisan hadapan

Oleh Sabah News Today

SANDAKAN: Pas Bahagian Sandakan menggerakkan misi ‘Love For Fighter’ bagi membantu barisan hadapan yang menentang penularan Covid-19 di daerah ini.

Lima buah entiti Pas yang terlibat ialah Pas Sandakan, Pas Batu Sapi, Pas Libaran, Pas Kinabatangan dan Pas Beluran telah menggerakkan misi ini lebih awal dengan mengumpulkan sumbangan kewangan.

Pas menyampaikan bantuan. Gambar SNT/Ihsan Pas

Sementara itu, pagi tadi jentera Pas ini telah hadir ke Hospital Duchess of Kent, dekat sini bagi menyerahkan sumbangan Alat Pengukur Tekanan Darah dan makanan kering sebagai siri awal misi ini.

Hadir menyampaikan sumbangan ialah Yang Dipertua Pas Sandakan, Sahar Abdul Majid, Timbalan Yang Dipertua Pas Libaran, Zulkifli Mohamad dan Naib Yang Dipertua Pas Batu Sapi, Norsah Bongsu.

Menurut Sahar yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Sabah, misi ini dilaksanakan sebagai tanda terima kasih dan sokongan moral mereka kepada barisan hadapan yang menentang Covid-19.

“Pihak kami mewakili masyarakat ingin menyatakan penghargaan kepada mereka atas segala pengorbanan yang dilakukan sepanjang tempoh genting ini,” katanya.

“Misi ini akan diluaskan juga kepada ‘frontliner’ lain termasuk PDRM, ATM dan lain-lain atas tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia yang saling mengambil berat,” tambahnya.

Pihaknya turut menyeru orang ramai menghulurkan sumbangan kewangan ke akaun Bank Islam Pas Kawasan Batu Sapi, bernombor 10043010020212 bagi membantu usaha murni ini.

Sementara itu, Pengarah HDOK, Dr Francis Paul ketika ditemui semasa majlis berkenaan mengingatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi arahan Kementerian Kesihatan Malaysia dari masa ke masa.

Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih serta penghargaan kepada Pas dan orang ramai yang prihatin dengan mereka kerana tidak putus-putus tampil menghulurkan bantuan.-SabahNewsToday