Pilih Bahasa

Covid-19: Pengagihan bantuan makanan kepada kumpulan sasar di Sabah diagih mulai hari ini

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

KOTA KINABALU: Kumpulan sasar di negeri ini yang terjejas akibat wabak Covid-19 dijangka menerima sebahagian besar daripada pengagihan bantuan makanan dengan peruntukan RM18 juta bermula hari ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong berkata bantuan itu mula diagihkan sejak pukul 3 petang semalam (25 Mac).

Datuk Safar Untong. Gambar Fail SNT

“Sebahagian besar daripada bantuan ini
dijangka akan dapat diterima oleh kumpulan sasar pada hari ini manakala bagi selebihnya, bantuan akan disampaikan dalam tempoh yang terdekat.

“Pembayaran elaun bantuan khas kepada golongan miskin dan tegar secara one-off RM500 akan dibayar secara online mulai hari ini (26 Mac) oleh semua Pejabat Daerah di seluruh Negeri Sabah.

“Bagi yang tidak mempunyai akaun bank, pembayaran akan dilakukan secara tunai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mesyuarat Sabah Covid-19 Command Centre pada hari ini turut menyatakan bahawa beberapa agihan bantuan kepada golongan sasar turut dilaksanakan mulai hari ini.

Antaranya, pembayaran bantuan tunai One-Off RM300 kepada golongan
berpendapatan rendah B40 atau golongan yang terjejas teruk, iaitu yang terdiri daripada pemandu teksi, petani, pekebun, nelayan, penternak, malim gunung dan ‘porters’, serta freelance tour guides akan dibayar secara online ke akaun bank
masing-masing.

Safar berkata bagi kumpulan vulnerable seperti warga tua, anak-anak yatim,
orang kelainan upaya yang melibatkan seramai 62,638 orang dan ibu tunggal seramai 6,500 orang di seluruh Sabah dijangka akan menerima bantuan one-off RM300 secara online ke akaun bank masing-masing pada esok (27 Mac).

Sementara itu, katanya bantuan kepada pesakit Covid-19 dan ahli keluarga mereka juga akan menerima bantuan tunai one-off RM500.

Tambah beliau lagi pembayaran akan dibuat ke akaun bank masing-masing sebaik sahaja nombor akaun bank pesakit atau ahli keluarga pesakit diperolehi daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Sabah. – SabahNewsToday