Pilih Bahasa

COVID-19: Sabah perluas larangan masuk pelawat dari Iran, Itali

Bernama

KOTA KINABALU, 10 Mac — Kerajaan negeri Sabah memperluas sekatan perjalanan terhadap pelawat dari Iran dan Itali berkuat kuasa serta-merta berikutan kebimbangan terhadap penularan COVID-19.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Safar Untong berkata warga negara asing dari Iran dan Itali tidak dibenarkan memasuki Sabah menerusi semua pintu masuk udara, laut mahupun darat.

Tambahan perintah larangan sementara untuk memasuki Sabah juga terpakai kepada semua rakyat asing tanpa mengira kewarganegaraan, dan rakyat Malaysia bukan penduduk tetap Sabah yang mempunyai sejarah perjalanan ke Iran dan Itali dalam tempoh 14 hari lepas, katanya.

“Dalam usaha mengekang penularan COVID-19, kerajaan negeri memperluas sekatan perjalanan berkuat kuasa 10 Mac,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Untong, mana-mana rakyat Sabah, penduduk tetap Sabah dan penduduk Sabah dengan pas kerja, pas pelajar, pas lawatan sosial jangka panjang atau mana-mana perintah pengecualian, yang kembali dari Iran dan Itali, adalah tertakluk kepada kuarantin kediaman  selama 14 hari.

“Semua warga negara Iran dan Itali yang masih berada di Sabah dinasihati untuk pulang ke tanah air masing-masing sebelum tempoh visa mereka tamat. Sekiranya visa tamat, hanya satu lanjutan visa dengan maksimum tujuh hari akan diberikan,” katanya.

— BERNAMA